‘Bang Mat’ ajak anak muda terjun dunia Agro dengan teknologi
Golongan muda digesa melihat sektor pertanian sebagai industri masa depan yang berpotensi tinggi, bukan lagi kerja tradisional semata-mata.
Seruan itu disuarakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang turut dikenali sebagai “Bang Mat”.
Menurutnya, landskap pertanian kini telah berubah dengan penggunaan teknologi moden seperti fertigasi dan hidroponik yang mampu meningkatkan kualiti serta konsistensi hasil.
“Zaman sekarang bukan lagi cangkul dan peluh semata-mata. Pertanian sudah masuk era teknologi,” katanya.
Beliau berkata perkembangan itu membuktikan sektor pertanian bukan lagi bidang biasa, sebaliknya industri bernilai tinggi yang mampu menjana pendapatan lumayan.
Tambahnya, semakin ramai anak muda berjaya sebagai usahawan tani moden, sekali gus menunjukkan potensi besar sektor tersebut jika diusahakan secara serius.
Dalam masa sama, Mohamad berkata kerajaan akan terus menyediakan sokongan termasuk latihan, teknologi dan akses pasaran bagi menggalakkan penglibatan belia.
Beliau turut menegaskan bahawa gabungan ilmu dan teknologi dalam kalangan generasi muda mampu memperkukuh sektor agromakanan negara, khususnya dalam mendepani cabaran seperti krisis bekalan global.
“Bang Mat” turut menggesa anak muda agar berani berubah dan merebut peluang dalam sektor pertanian yang semakin berkembang.
BACA JUGA Ada gerakan gulingkan Tuanku? Ini seruan tegas pertahankan institusi Raja