Trump nak ‘ambil’ Cuba? Presiden label ancaman bahaya

Presiden Cuba mengecam kenyataan Presiden Amerika Syarikat yang didakwa mengancam untuk “mengambil alih” kerajaan negara itu, sambil menyifatkannya sebagai tindakan berbahaya dan belum pernah berlaku.

Presiden Miguel Díaz-Canel berkata ancaman yang dikaitkan dengan Donald Trump itu bukan sahaja serius, malah berpotensi mencetuskan ketegangan antarabangsa.

Dalam kenyataan di platform X, beliau turut menggesa komuniti antarabangsa mengambil perhatian terhadap situasi tersebut.

“Komuniti antarabangsa perlu menentukan sama ada tindakan jenayah brutal seperti ini harus dibenarkan demi kepentingan segelintir pihak berpengaruh,” katanya.

Díaz-Canel mendakwa ancaman tersebut didorong oleh kelompok kecil yang mempunyai kepentingan politik dan ekonomi, serta agenda balas dendam dan hegemoni.

Menurutnya, Cuba tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk pencerobohan walaupun berdepan kuasa besar.

“Tiada penyerang, walau sekuat mana sekalipun, akan menemukan penyerahan di Cuba,” katanya.

Beliau menegaskan rakyat Cuba bersedia mempertahankan setiap inci wilayah negara serta kemerdekaan mereka daripada sebarang ancaman luar.

Kenyataan itu dilihat sebagai reaksi tegas Havana terhadap retorik yang berpotensi meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara.

BACA JUGA Guna AI untuk PRU? ‘Teras’ bantu PKR menang pilihan raya?