Kerajaan umum cuti Hari Wesak, Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Agong

Kerajaan bersetuju memberi hari kelepasan am sempena Hari Wesak dan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, masing-masing pada 31 Mei dan 1 Jun ini.

Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong adalah antara lima hari kelepasan am wajib yang perlu diberi kepada pekerja oleh majikan sektor swasta di Semenanjung Malaysia, termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), peruntukan mengikut Akta Kerja 1955 itu menetapkan cuti berkenaan tidak boleh diganti pada hari lain.

Sementara itu, Hari Wesak pula adalah hari kelepasan am berbayar yang boleh dipilih majikan bagi melengkapkan enam hari kelepasan am berbayar yang perlu diberi kepada pekerja.

“Sekiranya hari kelepasan am jatuh pada hari rehat mingguan atau mana-mana cuti yang ditetapkan, maka hari bekerja berikutnya perlu dijadikan hari kelepasan am gantian berbayar,” kata kenyataan itu.

Justeru, majikan yang menetapkan Ahad sebagai hari rehat mingguan dan memilih Hari Wesak sebagai cuti umum, mereka perlu memberikan 1 Jun (Isnin) sebagai cuti Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong yang tidak boleh diganti, serta 2 Jun 2026 (Selasa) sebagai cuti gantian bagi Hari Wesak.

Namun, cuti gantian itu boleh ditukar kepada hari lain dengan persetujuan pekerja selaras peruntukan undang-undang.

Sementara itu, pekerja yang menerima gaji RM4,000 ke bawah atau yang tertakluk mengikut Jadual Pertama Akta Kerja 1955 dan diarahkan bekerja pada hari kelepasan am, layak menerima bayaran mengikut kadar ditetapkan.

Tambah KESUMA lagi, majikan perlu mematuhi ketetapan undang-undang bagi memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara.

BACA JUGA Muda dan berkredibiliti, Undang Luak Sungai Ujong ke-11 ini bukan calang-calang