PH-Umno sepakat kekal kerjasama di Negeri Sembilan
Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan yang bermesyuarat hari ini bersetuju untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Perkara ini dicapai dalam mesyuarat dipengerusikan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berlangsung hari ini.
Dalam satu kenyataan bersama malam ini, PH dan Umno menyatakan bahawa kedua-dua parti menghormati pendirian yang telah diputuskan oleh kedua-dua biro politik masing-masing dalam menyentuh isu di Negeri Sembilan.
Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan juga bersetuju untuk memastikan apa jua keputusan kerajaan Negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk sensitiviti dan membuka ruang perselisihan, mesti segera dirujuk kepada Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan.
Kenyataan bersama ini dikeluarkan Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
BACA JUGA Shahril kata Umno Negeri Sembilan silap besar, persepsi ‘tebuk atap’ dah terbentuk