Johor tidak perlukan Adun lantikan, AMANAH persoal motif kerajaan negeri bawa RUU baharu
Kerajaan Negeri Johor dibantah kerana bercadang membawa Rang Undang-Undang (RUU) di Dewan Negeri Johor bagi mewujudkan lima kerusi ADUN lantikan.
Exco Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda menyifatkan cadangan itu sebagai satu langkah yang tidak demokratik.
Menurutnya, dalam keadaan penggal Dewan Negeri Johor semakin menghampiri penghujung dan pembubaran DUN dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa, tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor memperkenalkan ADUN lantikan menimbulkan persoalan besar mengenai keutamaan sebenar kerajaan negeri.
Beliau berkata, keutamaan kerajaan negeri sepatutnya memberi fokus kepada usaha mempercepat persempadanan semula dan menambah bilangan kerusi DUN, khususnya di kawasan yang mempunyai jumlah pengundi terlalu besar serta tidak lagi seimbang dengan kawasan lain.
Jelasnya, DUN seperti Skudai, Puteri Wangsa, Stulang dan Kota Iskandar kini merekodkan jumlah pengundi hampir atau melebihi 100,000 orang.
Pada masa sama, katanya, masih terdapat DUN seperti Endau dan Serom yang mempunyai jumlah pengundi tidak sampai 20,000 orang.
“Ketidakseimbangan sebesar ini tidak boleh terus dibiarkan.
“Isu pokok yang perlu diselesaikan ialah bagaimana memastikan setiap pengundi di Johor mendapat perwakilan yang lebih adil, seimbang dan munasabah dalam Dewan Negeri.
“Apakah lebih penting untuk menjaga hak pengundi melalui persempadanan semula yang adil, atau melantik individu yang tidak melalui mandat rakyat sebagai ADUN?” ujarnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dipilih bukan dilantik
Dalam masa sama, Fadhli Umar turut menegaskan bahawa dalam demokrasi, wakil rakyat sepatutnya dipilih oleh rakyat dan bukannya dilantik mengikut keselesaan politik kerajaan yang memerintah.
Tambahnya, jika benar kerajaan Barisan Nasional Johor mahu memperkukuh perwakilan rakyat, jalan yang betul ialah menambah kerusi melalui proses pilihan raya dan bukannya mencipta laluan pintas melalui ADUN lantikan.
“Cadangan ini memperlihatkan kegagalan Kerajaan Barisan Nasional Johor memahami keutamaan sebenar rakyat.
“Ketika ketidakseimbangan jumlah pengundi antara DUN semakin ketara, kerajaan negeri masih memilih untuk membawa cadangan yang membuka ruang kepada lantikan politik,” katanya.
Fadhli menegaskan bahawa Johor tidak memerlukan ADUN lantikan sebaliknya memerlukan persempadanan semula yang adil, penambahan kerusi DUN yang munasabah, dan wakil rakyat yang benar-benar mendapat mandat daripada rakyat melalui pilihan raya.
BACA JUGA RON95 tanpa subsidi dan diesel naik lima sen, harga RON97 kekal