Tiada cadangan, kata Zahid, BN tak mahu tukar MB
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Barisan Nasional (BN) tidak bercadang menukar Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meskipun semua 14 Adun Umno negeri itu dilaporkan mengambil pendirian tidak lagi menyokong kepimpinan pengerusi PKR Negeri Sembilan berkenaan.
Menurut Zahid, pendirian BN ketika ini masih jelas iaitu mempertahankan kerajaan perpaduan Negeri Sembilan walaupun hubungan antara Umno negeri dan Aminuddin dilihat semakin tegang sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
“Tidak, tidak ada cadangan,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada BN mahu menggantikan Aminuddin sebagai Menteri Besar.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 di Kuala Lumpur hari ini.
Krisis politik di Negeri Sembilan mula memuncak apabila beberapa pemimpin Umno negeri secara terbuka menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Aminuddin berkait dakwaan campur tangan dalam isu melibatkan adat dan institusi tradisional negeri.
Ketegangan itu kemudian menjadi perhatian apabila kesemua 14 Adun Umno Negeri Sembilan dilaporkan mengambil pendirian bersama menolak kepimpinan Aminuddin, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kestabilan kerajaan perpaduan di negeri tersebut.
Bagaimanapun, Zahid menegaskan penolakan itu bukan bermaksud BN mahu menjatuhkan kerajaan negeri atau menarik sokongan terhadap gabungan sedia ada.
Sebaliknya, katanya, isu utama yang dibangkitkan Umno Negeri Sembilan ialah keperluan menghormati institusi adat serta kedudukan Yang Dipertuan Besar dan Undang Yang Empat.
“Kita bukan menolak tetapi kita tidak mendukung selagi campur tangan dalam undang-undang adat di Negeri Sembilan.
“Kita mahu supaya soal kedaulatan Negeri Sembilan antara Yang Dipertuan Besar dan Undang Yang Empat harus dihormati dan biarlah mereka menyelesaikan masalah itu,” katanya.
Untuk rekod, kerajaan Negeri Sembilan ketika ini diterajui gabungan PH-BN hasil kerjasama selepas Pilihan Raya Negeri 2023, dengan Aminuddin kekal sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua.
Namun ketegangan terbaru antara Umno Negeri Sembilan dan kepimpinan PKR negeri itu dilihat sebagai ujian terbesar kepada kestabilan politik kerajaan perpaduan di negeri berkenaan sejak pembentukannya.
BACA JUGA Konflik Asia Barat : MP kerajaan, pembangkang sepakat bersidang rangka strategi