PH dah mula panaskan enjin PRU16? : Konvensyen besar bakal himpunkan pimpinan utama di Johor
Pakatan Harapan (PH) akan menganjurkan Konvensyen Pakatan Harapan 2026 pada 17 Mei ini di Johor dalam usaha memperkukuh kesatuan gabungan serta menyusun gerak kerja politik menjelang beberapa pilihan raya penting akan datang.
Konvensyen bertemakan “Tekad Madani, Harapan Rakyat” itu dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor dari jam 8 pagi hingga 6 petang.
Menurut kenyataan bersama pimpinan PH hari ini, program tersebut akan menjadi medan menyelaras hala tuju gabungan selain memperkukuh kesiapsiagaan organisasi menghadapi cabaran politik semasa.
PH berkata konvensyen itu turut memberi fokus kepada usaha memperkukuh ekonomi negara, mengekalkan kestabilan politik serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Madani.
“Sebagai teraju Kerajaan MADANI, Pakatan Harapan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi negara, kestabilan politik serta keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum Ke-16,” menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat khas kepada para perwakilan.
Turut dijangka hadir ialah pimpinan utama komponen PH termasuk PKR, DAP dan Amanah.
Penganjuran semula konvensyen itu turut dilihat signifikan memandangkan kali terakhir PH mengadakan konvensyen besar gabungan adalah pada 2022 sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.
Ketika itu, PH berada dalam posisi pembangkang dan sedang berusaha meyakinkan rakyat untuk kembali memberikan mandat kepada gabungan berkenaan.
Kini selepas hampir tiga tahun menerajui Kerajaan Perpaduan, konvensyen tersebut dijangka menjadi pentas penting bagi PH memperjelaskan agenda reformasi serta pencapaian kerajaan kepada akar umbi parti.
Selain memperkukuh organisasi, PH berkata konvensyen itu juga mencerminkan komitmen berterusan gabungan berkenaan dalam memastikan agenda reformasi dan dasar Kerajaan Madani terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil, Naib Presiden Amanah Adly Zahari dan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Syahredzan Johan.
BACA JUGA Jom serbu Quranic Madani di Bukit Bintang malam ini