LRA Kedah ‘sangkut’ teruk: Kerajaan pusat masuk campur

Kerajaan Persekutuan terpaksa mengambil alih pelaksanaan projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau di Baling selepas projek itu mengalami kelewatan serius sehingga kontrak asal ditamatkan tahun lalu.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata projek berkenaan kini akan melalui proses tender semula bagi melantik kontraktor baharu, yang dijangka bermula Julai ini.

Menurut beliau, tindakan itu dibuat walaupun kerajaan perlu menanggung tambahan kos, demi memastikan isu bekalan air yang menjejaskan rakyat Kedah dapat diselesaikan segera.

“Projek sebegini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana kesannya ditanggung oleh rakyat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat di Kulim Hi-Tech Park.

Katanya, kemajuan fizikal projek LRA Sungai Limau ketika kontrak asal ditamatkan pada April 2025 hanya mencapai 25.57 peratus, jauh ketinggalan daripada jadual asal.

Dalam masa sama, projek LRA Bukit Selambau di Kuala Muda turut berdepan kelewatan apabila kemajuan semasa hanya berada pada tahap 51.28 peratus berbanding sasaran asal 58.02 peratus.

Akmal berkata surat amaran kemungkiran telah dikeluarkan kepada kontraktor projek tersebut bagi tindakan lanjut.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa apabila projek asas kritikal seperti bekalan air mengambil masa terlalu lama sehingga memerlukan campur tangan terus Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan terpaksa membuat intervensi dan turun melihat sendiri keadaan di tapak bagi memastikan isu pelaksanaan diselesaikan segera,” katanya.

Menurut beliau, projek berkenaan perlu dipulihkan dan disiapkan secepat mungkin supaya kerugian tidak terus ditanggung rakyat.

Terdahulu, Akmal meninjau perkembangan semasa kedua-dua projek LRA terbabit sebagai sebahagian daripada lawatan kerja yang turut memberi fokus kepada pembangunan wilayah utara dan kawasan industri strategik negara.

Katanya, lawatan tersebut selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 yang memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat, pelaburan bernilai tinggi dan pelaksanaan projek secara lebih berkesan.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri, Jabatan Bekalan Air dan agensi pelaksana amat penting bagi memastikan kelewatan projek tidak terus berulang.

BACA JUGA Trump kena lagi: Mahkamah AS kata tarif global 10% beliau tak sah