Bersatu terus bergolak, kali ini 2 ADUN dipecat, empat MP digantung keahlian
Bersatu hari ini dilaporkan telah memecat dua ADUN parti itu dan menggantung keahlian empat pemimpinnya yang juga Ahli Parlimen berkuat kuasa serta merta.
Notis itu dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan sebentar tadi.
Dua ADUN dipecat ialah ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak.
Empat pemimpin Bersatu yang digantung pula adalah Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor.
Keempat mereka didakwa melanggar Perlembagaan dan Kod Etika parti dan digantung hak keahlian selama dua penggal pemilihan parti.
“Pihak Lembaga Disiplin telah bersidang dan telah memutuskan bahawa Datuk Seri digantung hak-hak keahlian dalam parti di bawah FASAL 22.5 bagi tempoh dua penggal pemilihan Bersatu berkuat kuasa mulai tarikh surat ini dikeluarkan atas tindakan Datuk Seri melanggar FASAL 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli,” menurut surat penggantungan itu.
Semua individu terbabit bagaimanapun diberi ruang mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.
BACA JUGA Sentuh 3R kemelut di Negeri Sembilan, polis rakam keterangan 49 individu