‘Banyak lagi yang kita hendak ambil alih dari Kerajaan Persekutuan’

Banyak lagi entiti strategik yang Kerajaan Sarawak hendak ambil alih dari Kerajaan Persekutuan, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Menurutnya, langkah yang merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuhkan autonomi ekonomi dan kawalan terhadap aset penting Sarawak itu selari dengan agenda memperluaskan hak negeri mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, langkah tersebut akan dilaksana berdasarkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

“Sebab itu dalam tempoh enam tahun lalu, kita mengambil langkah mengukuhkan ekonomi dengan mengambil alih kuasa tenaga Empangan Hidroelektrik Bakun daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kita mengambil alih Pelabuhan Bintulu; mewujudkan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan syarikat penerbangan AirBorneo; serta mengambil alih majoriti ekuiti bank komersial Affin Bank.

“Malah, banyak lagi yang kita hendak ambil alih daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Hari Pekerja Peringkat Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Tambahnya, pengambilalihan serta kewujudan banyak entiti strategik itu akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Mulai tahun ini, Kerajaan Sarawak menawarkan 64 program di institusi pengajian tinggi (IPT) milik Sarawak untuk melahirkan anak Sarawak yang pakar dalam bidang sains, kewangan serta undang-undang baharu, termasuk undang-undang siber,” katanya.

BACA JUGA Selagi RON95 RM1.99, ramai tak sedar dunia sedang menuju krisis minyak