PM sendiri nak hadkan kuasa dia – Azalina

Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun disifatkan sebagai antara reformasi institusi paling besar dibawa pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelakkan pemusatan kuasa politik di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Azalina Othman Said berkata langkah itu membuktikan Anwar sendiri bersedia mengehadkan kuasa jawatannya demi memperkukuh prinsip semak dan imbang dalam sistem demokrasi negara.

Menurut beliau, cadangan tersebut bukan sekadar slogan politik tetapi sebahagian agenda pembaharuan institusi yang sedang digerakkan kerajaan Madani.

“Sebab itulah Perdana Menteri Malaysia ke-10, Anwar Ibrahim, wajar dihormati kerana beliau sendiri menawarkan untuk mengehadkan tempoh jawatannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab dalam program Town Hall Kerangka Akauntabiliti MADANI 2026.

Azalina menjelaskan jika had maksimum 10 tahun diluluskan, tempoh itu turut terpakai kepada Anwar sendiri yang kini sudah memasuki tahun ketiga sebagai Perdana Menteri.

“Kalau tempohnya 10 tahun, sekarang beliau sudah pegang jawatan itu selama tiga tahun.

“Jadi kalau beliau bertanding lagi selepas ini, tempoh maksimum hanya tinggal tujuh tahun,” katanya.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri itu dijangka dibentangkan semula di Dewan Rakyat Jun ini selepas gagal memperoleh majoriti dua pertiga pada Mac lalu.

Ketika pengundian sebelum ini, hanya 146 Ahli Parlimen menyokong pindaan tersebut  kurang dua undi daripada syarat minimum 148 undi untuk meluluskan pindaan Perlembagaan.

Seramai 32 Ahli Parlimen tidak hadir manakala 44 lagi tidak mengundi.

Menurut beliau, pindaan itu penting bagi memastikan sistem demokrasi negara lebih sihat selain mengelakkan terlalu banyak kuasa tertumpu kepada seorang individu terlalu lama.

Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sebelum ini menjadi antara janji reformasi institusi yang sering dibawa Anwar sejak era pembangkang lagi.

BACA JUGA PH mungkin hilang majoriti dua pertiga di Pulau Pinang? Ini reaksi Chow