PM mahu mahasiswa jadi pemecah tembok perkauman
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa mahasiswa supaya terus menjadi agen perubahan yang mampu membawa pembaharuan kepada negara berasaskan ilmu, nilai dan kematangan pemikiran.
Menurut beliau, golongan muda khususnya mahasiswa mempunyai peranan besar untuk menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
Katanya, generasi muda perlu berani menolak politik perkauman sempit yang hanya memecah-belahkan masyarakat serta menggugat keharmonian negara.
“Malaysia memerlukan kekuatan baharu yang mampu meruntuhkan tembok perkauman dalam politik picisan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama mahasiswa India di Universiti Malaya.
Anwar berkata, masa depan negara bergantung kepada kesediaan generasi muda membina sebuah Malaysia yang lebih bersatu, stabil dan berdaya maju.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan terus mempertahankan prinsip keadilan sosial yang menjamin kebelaan rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Menurutnya, konsep Malaysia MADANI memberi penekanan terhadap nilai ihsan, keadilan dan kesejahteraan yang merentasi batas kaum serta agama.
Ucapan itu dilihat sebagai peringatan terbuka Perdana Menteri terhadap peningkatan sentimen perkauman dalam politik semasa, khususnya di media sosial dan pentas politik kepartian.
BACA JUGA Kerajaan perhalusi penarikan subsidi RON95 untuk golongan kaya