Ada orang guna nama organisasi? – MKM nafi hilang sokongan kepada PMX

Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) menafikan satu kenyataan media yang tular sebagai mewakili pendirian rasmi organisasi itu, sambil mendakwa ia dilakukan oleh beberapa individu yang mempunyai agenda tersendiri.

Setiausaha Agung MKM, Aqeef Salih berkata kenyataan berkenaan tidak pernah dibincangkan, dipersetujui atau diputuskan melalui saluran rasmi organisasi mahasiswa tersebut.

Menurut beliau, tindakan menggunakan platform organisasi tanpa mandat hanya menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif terhadap MKM.

“Kenyataan tersebut tidak pernah dibincangkan, dipersetujui atau diputuskan melalui saluran rasmi MKM.

“Ia hanyalah tindakan beberapa kerat individu dalam pimpinan pusat yang mempunyai agenda tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Aqeef turut mempersoalkan kredibiliti kenyataan tular itu kerana tidak disertakan nama dan jawatan individu yang bertanggungjawab mengeluarkannya.

Katanya, tindakan sedemikian jelas tidak profesional dan menunjukkan niat yang tidak baik.

“Mana-mana pihak yang benar-benar berani dengan pendirian sendiri sepatutnya tampil secara terbuka, bukannya berselindung di sebalik nama organisasi mahasiswa,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menegaskan MKM akan terus berpegang kepada disiplin organisasi, adab perjuangan dan proses demokrasi yang matang.

Menurutnya, sebarang pandangan peribadi tidak boleh dipaksakan sebagai pendirian rasmi organisasi tanpa mandat dan persetujuan bersama.

“MKM tidak akan sesekali membenarkan platform perjuangan mahasiswa diperalat untuk kepentingan politik individu tertentu,” katanya.

Beliau turut menegaskan sayap mahasiswa KEADILAN itu akan terus menghormati institusi presiden parti dan menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Susulan isu itu, sekretariat MKM memaklumkan pihaknya akan meneliti perkara berkenaan termasuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didakwa menyalahgunakan nama organisasi tanpa kebenaran.

“MKM akan terus kekal fokus membawa suara mahasiswa dengan penuh tanggungjawab, prinsip dan integriti,” katanya.

BACA JUGA Kerajaan perhalusi penarikan subsidi RON95 untuk golongan kaya