Pemuda AMANAH diminta mula gerakkan jentera dari sekarang

Pemuda  AMANAH  diingatkan supaya mula memperkukuh gerak kerja dan mempersiapkan jentera parti susulan kemungkinan pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa.

Perkara itu disampaikan Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ketika sesi Ramah Mesra bersama Pemuda  AMANAH  Negeri Sembilan di Star Fresh Agro Park, Seremban petang tadi.

Menurut perkongsian Ketua Pemuda  AMANAH  Nasional, Hasbie Muda, amanat tersebut memberi penekanan kepada kesiapsiagaan jentera Pemuda selain memastikan gerakan parti terus dekat dengan rakyat.

“Timbalan Presiden mengingatkan agar Pemuda dapat mempersiapkan jentera Pemuda untuk terus giat membantu rakyat.

“Dalam masa sama, bersiap sedia menghadapi pilihan raya yang dijangka boleh diadakan bila-bila masa mulai sekarang,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Program itu menghimpunkan pimpinan dan anggota Pemuda  AMANAH Negeri Sembilan dalam usaha memperkukuh koordinasi organisasi di peringkat negeri.

Kenyataan tersebut hadir ketika suhu politik negara kembali hangat dengan pelbagai spekulasi berkaitan kemungkinan pilihan raya negeri dan persiapan awal menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Walaupun tempoh mandat kerajaan Persekutuan masih berbaki, beberapa parti politik kini dilihat mula menggerakkan jentera masing-masing termasuk memperkukuh program akar umbi dan pendekatan mendampingi rakyat.

Dalam perkembangan sama,  AMANAH  sebelum ini beberapa kali menegaskan bahawa kekuatan jentera anak muda akan menjadi antara fokus utama parti dalam mendepani cabaran politik semasa serta usaha mempertahankan sokongan terhadap Kerajaan Madani.

BACA JUGA Ada orang guna nama organisasi? – MKM hilang sokongan kepada PMX