Lepas 20 tahun baru naik, MITRA kini masuk ‘fasa baharu’
Peningkatan peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kepada RM150 juta mulai tahun ini disifatkan sebagai titik penting dalam sejarah pembangunan komuniti India di negara ini selepas lebih dua dekad jumlah itu tidak pernah dinaikkan.
Menteri Sumber Manusia,Datuk Seri R. Ramanan berkata tambahan RM50 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merupakan kali pertama peruntukan MITRA ditambah sejak agensi itu ditubuhkan.
Menurut beliau, sebelum ini MITRA yang dahulunya dikenali sebagai Unit Khas Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC) kekal menerima sekitar RM100 juta selama lebih 20 tahun.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri atas tambahan RM50 juta ini.
“Sejak penubuhan MITRA termasuk ketika masih dikenali sebagai SEDIC, peruntukannya tidak pernah dinaikkan dan kekal sekitar RM100 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Mahasiswa India di Universiti Malaya.
MITRA yang sebelum ini berada di bawah Jabatan Perdana Menteri kini diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Agensi itu bertanggungjawab menyelaras pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia termasuk aspek pendidikan, latihan, keusahawanan dan pembangunan komuniti.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata komitmen Kerajaan Madani terhadap komuniti India bukan hanya tertumpu kepada MITRA semata-mata.
Katanya, pelbagai agensi kerajaan turut menyediakan dana khas bagi membantu pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat India.
Antaranya termasuk RM100 juta menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk program Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women (PENN 2.0).
Selain itu, TEKUN Nasional turut menyediakan RM100 juta khusus untuk komuniti India manakala SME Bank memperuntukkan RM50 juta bagi pembangunan usahawan India.
Dalam masa sama, Ramanan berkata MITRA kini memasuki “fasa baharu” dengan memberi fokus lebih besar terhadap pembangunan pendidikan dan modal insan.
Menurut beliau, mulai tahun depan MITRA akan menumpukan pembangunan pendidikan secara menyeluruh bermula daripada prasekolah hingga ke pendidikan tinggi termasuk latihan teknikal berkemahiran tinggi.
“MITRA juga akan meneroka kerjasama strategik termasuk latihan teknikal di luar negara bagi meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran belia India,” katanya.
Langkah itu dilihat selari dengan usaha kerajaan memperkukuh mobiliti sosial dan peluang ekonomi komuniti India menerusi pendekatan pembangunan jangka panjang yang lebih tersusun dan menyeluruh.
BACA JUGA Kita asyik gaduh pasal politik, teh tarik, rupanya dunia kagum tengok Malaysia