Nak lawan krisis global bukan dengan slogan – PMX
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sains, teknologi dan inovasi (STI) dijadikan enjin utama baharu negara bagi menghadapi tekanan ekonomi global, ketidaktentuan rantaian bekalan serta krisis tenaga dunia.
Menurut beliau, Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan lama sekiranya mahu kekal berdaya saing dalam suasana ekonomi global yang semakin tidak menentu.
Anwar berkata usaha memperkasa ekosistem STI negara kini menjadi antara fokus utama Kerajaan Madani termasuk melalui pelaksanaan beberapa inisiatif berasaskan misi strategik.
Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan Malaysia mampu mengoptimumkan sumber negara selain merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan berasaskan teknologi bernilai tinggi.
“Selari dengan tekad untuk menjadikan sains, teknologi dan inovasi sebagai pemacu utama penyelesaian ekonomi negara, setiap perancangan dan pelaksanaan mesti digerakkan secara lebih strategik dan berkesan,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Beliau berkata Malaysia kini turut berdepan cabaran ketidaktentuan rantaian ekonomi global termasuk kesan krisis tenaga susulan konflik di Asia Barat.
Justeru katanya, kerajaan memberi tumpuan penuh kepada usaha memperkukuh pembangunan teknologi, inovasi dan penyelidikan bagi meningkatkan daya tahan ekonomi negara.
Anwar turut menekankan kepentingan kerjasama lebih erat antara kerajaan, sektor swasta dan institusi penyelidikan serta pembangunan (R&D).
Menurut beliau, sinergi strategik itu penting supaya hasil penyelidikan tidak sekadar berada di makmal atau atas kertas, sebaliknya diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat dan ekonomi negara.
Perkara tersebut dibangkitkan beliau ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara (MSN) Bilangan 1 Tahun 2026 hari ini.
Kerajaan sebelum ini beberapa kali menegaskan bahawa transformasi ekonomi negara akan lebih tertumpu kepada sektor bernilai tinggi termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, teknologi hijau dan pembangunan bakat teknologi tempatan.
BACA JUGA Kita asyik gaduh pasal politik, teh tarik, rupanya dunia kagum tengok Malaysia