Dulu pasang cip orang, sekarang Malaysia nak reka sendiri

Malaysia kini memasuki fasa baharu industri semikonduktor apabila tiga syarikat tempatan dipilih menerima akses teknologi dan harta intelek (IP) daripada syarikat gergasi global, Arm Limited, bagi membangunkan cip semikonduktor buatan tempatan.

Langkah itu dilihat sebagai usaha besar kerajaan untuk mengubah kedudukan Malaysia daripada sekadar hab pemasangan dan pengujian cip kepada negara yang mampu mereka bentuk serta menghasilkan teknologi cip sendiri.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan menyasarkan cip “Made by Malaysia” dapat dihasilkan dalam tempoh tiga tahun menerusi kerjasama strategik tersebut.

Menurut beliau, Malaysia sebenarnya sudah mempunyai asas kukuh dalam sektor semikonduktor terutama dalam aktiviti “back-end” seperti pembungkusan dan pengujian cip.

Namun katanya, akses kepada teknologi dan IP global amat penting bagi membolehkan syarikat tempatan bergerak ke peringkat lebih tinggi termasuk reka bentuk litar bersepadu (IC design).

“Negara tidak bermula daripada kosong kerana kita memang sudah ada kekuatan dalam industri ini.

“Tetapi untuk masuk ke peringkat reka bentuk dan penciptaan teknologi sendiri, kita perlukan akses kepada IP,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Tawaran di bawah Kerjasama Strategik antara Kerajaan Malaysia dan Arm Limited hari ini.

Tiga syarikat yang dipilih menerima tawaran tersebut ialah Great Asic Technology Sdn Bhd, SkyeChip Bhd dan Oppstar Technology Sdn Bhd.

Akmal berkata kerajaan bukan sekadar memberikan akses teknologi, sebaliknya menetapkan komitmen tertentu kepada syarikat terlibat termasuk penggunaan tenaga mahir tempatan serta peningkatan nilai dalam keseluruhan rantaian industri semikonduktor negara.

Katanya, selepas memasuki fasa reka bentuk cip, syarikat terlibat akan diberikan tempoh tertentu bersama Arm Limited sebelum hasil ciptaan mereka dipasarkan.

Mengulas fokus pembangunan cip tempatan, beliau berkata antara sektor utama yang dikenal pasti ialah cip berkaitan pelayan komputer susulan pertumbuhan pesat industri pusat data di Malaysia.

Selain itu, sektor automotif dan automasi kenderaan turut dilihat mempunyai potensi besar untuk diteroka.

Dalam masa sama, kerjasama strategik antara Malaysia dan Arm Limited itu turut menetapkan sasaran melatih 10,000 bakat tempatan bagi memperkukuh ekosistem industri semikonduktor negara.

Usaha tersebut juga dijangka membolehkan cip yang dibangunkan syarikat Malaysia menjadi sebahagian daripada rangkaian bekalan global industri semikonduktor dunia.

Industri semikonduktor kini dianggap antara sektor strategik paling penting dunia susulan ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI), pusat data, automotif pintar dan peranti digital yang semakin berkembang pesat.

BACA JUGA Vijay terus ‘pecut’ hari pertama jadi KM? : Elektrik percuma, keselamatan wanita