Bersatu makin bersepai, tinggal 6 MP sahaja masih ‘hidup’
Bersatu menyaksikan kehilangan ramai wakil rakyat secara drastik sejak PRU15 sehingga digelar netizen sebagai parti ‘bersepai’.
Bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Eric See-To, mempersoalkan hala tuju Bersatu di bawah pimpinan presidennya, Tan Sri Mahiaddin Yassin, susulan tindakan disiplin yang terus menyusutkan jumlah Ahli Parlimen parti itu.
Menerusi satu hantaran di Facebook menggunakan nama Lim Sian See, beliau berkata keadaan dalam Bersatu kini menimbulkan tanda tanya besar apabila hanya sebilangan kecil wakil rakyat parti itu masih kekal aktif tanpa sebarang tindakan tatatertib.
Menurut Eric, daripada 31 Ahli Parlimen asal Bersatu yang dipilih selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kini hanya enam orang sahaja yang benar-benar masih aktif tanpa menerima sebarang amaran.
“Tiga orang lagi masih belum dipecat atau digantung, tetapi sudah diberi amaran.
“10 orang digantung. 12 orang pula telah dipecat.
“Maksudnya, daripada 31 Ahli Parlimen asal Bersatu, yang benar-benar tinggal aktif cuma enam orang,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Bersatu telah menggantung keahlian parti Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas bagi tempoh dua penggal pemilihan berkuat kuasa hari ini.
Menurut notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, memberitahu keputusan itu selepas Islahuddin didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
“Dengan penggantungan itu, maka YB secara langsung dilucutkan segala jawatan yang dipegang dan tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan.
“Pihak YB boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini,” menurut notis itu lagi.
BACA JUGA Bertanding solo? Ini sebabnya BN Melaka berisiko gigit jari sekali lagi