Kes tikam gadis 61 kali: Suspek akan didakwa esok

Suspek lelaki berusia 19 tahun yang sebelum ini ditahan reman sejak 1 Mei lalu berhubung kematian gadis yang ditemui dengan 61 kessan tikaman di Ketereh, Kelantan akan didakwa esok.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, remaja berkenaan akan didakwa di mahkamah esok mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dipetik BH.

Seorang lagi suspek juga berusia 19 tahun yang sebelum ini turut direman dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam kejadian menggemparkan pada 1 Mei lalu, mayat pelajar perempuan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Nurfisya Zulkifly, 19, ditemui di Kampung Padang Simah, Ketereh, dengan 61 kesan tikaman di seluruh anggota tubuhnya.

Mangsa yang merupakan anak kedua daripada empat beradik dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya ditemui di lokasi berkenaan.

Polis kemudiannya menahan reman empat individu termasuk dua warga emas yang juga ibu bapa kepada salah seorang suspek sebelum warga emas terbabit dibebaskan dengan jaminan polis.

BACA JUGA Bersatu terus bergolak, Timbalan Speaker DUN Kelantan pun dipecat