AMANAH tempelak MP Pas guna sumber cerita “kawan-kawan” untuk serang PM

Seorang pemimpin AMANAH menempelak Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang menyerang Perdana Menteri dengan pelbagai tuduhan serius dalam satu ceramahnya tanpa fakta mahupun bukti.

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Wan Anwar Wan Ibrahim mempertikai sumber dakwaan pemimpin Pas tersebut, yang kebanyakan hujah hanyalah bersumberkan cerita dari “kawan-kawan”.

“Lebih memalukan, hampir keseluruhan “hujah” beliau hanyalah bersandarkan kepada cerita “kawan-kawan” di Thailand, negara Arab dan kenalan luar negara yang kononnya berkata demikian dan begini. 

“Ini bukan standard seorang Ahli Parlimen. Ini lebih menyerupai sembang kedai kopi yang dibungkus menjadi ceramah politik murahan.

“Beliau dilihat amat tidak layak dan tidak kompeten sebagai Ahli Parlimen berikutan semua tuduhan tersebut hanyalah bersumberkan “laporan dari kawan” yang langsung tidak mempunyai kredibiliti, fakta mahupun sandaran diplomatik yang boleh dipertanggungjawabkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Wan Anwar mempersoal sejak bila hubungan diplomatik sesebuah negara dinilai berdasarkan cerita sembang peribadi dan bukannya melalui kekuatan dasar luar, hubungan perdagangan strategik, keyakinan pelabur dan pengiktirafan institusi antarabangsa

Hakikatnya di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelbagai institusi kewangan dan ekonomi antarabangsa mula melihat Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai potensi pertumbuhan stabil di rantau ini, hasil pendekatan diplomasi ekonomi yang lebih agresif.

Beliau berkata, jika benar Nik Zawawi mahu bercakap soal ekonomi dan kredibiliti kepimpinan negara, maka rakyat juga berhak bertanya tentang rekod beliau sendiri sebagai Ahli Parlimen dan pernah menjawat Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan. 

Beliau mempersoal apakah legasi besar pemimpin Pas itu kepada rakyat dan apa transformasi ekonomi yang berjaya dibawa ke Pasir Puteh.

“Berapa banyak pelaburan strategik yang berjaya diwujudkan? Apa pembaharuan besar dalam sektor makanan negara ketika beliau berada dalam kerajaan?

“Atau rekod beliau sekadar kuat berceramah, tetapi lemah menghasilkan pencapaian? Inilah masalah besar politik Pas hari ini. 

“Mereka menyerang kerajaan kononnya ekonomi merudum, tetapi ketika mereka berada dalam kerajaan sebelum ini, rakyat masih berdepan isu harga makanan, keterjaminan bekalan dan kelemahan sektor pertanian yang sama,” ujarnya.

BACA JUGA Islam terus mekar memayungi Malaysia Madani, ramai tokoh pemikir berkampung di Putrajaya