Haram hina sahabat Nabi – Dr Zulkifli tampil beri peringatan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan tampil memberikan peringatan tegas berhubung isu penghinaan terhadap para sahabat Rasulullah SAW yang sedang hangat diperkatakan di media sosial.
Menerusi satu hantaran status di media sosial, Dr Zulkifli menegaskan bahawa menghina sahabat Nabi merupakan perbuatan haram dan termasuk dalam dosa besar dalam Islam.
“Menghina sahabat Nabi ialah haram dan dosa besar.
“Mereka generasi terbaik, dipuji Allah (At-Tawbah:100) — mencaci mereka bererti menghina insan yang tegakkan Islam bersama Nabi,” katanya dalam hantaran tersebut.
Hantaran itu dipercayai dibuat susulan polemik melibatkan beberapa kenyataan ceramah politik yang tular dan didakwa menyentuh sejarah hidup para sahabat utama Rasulullah SAW sebelum mereka memeluk Islam.
Sebelum ini, beberapa pihak termasuk agamawan, ahli akademik dan pimpinan politik tampil menegur kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa menggunakan naratif sensasi berkaitan sahabat Nabi ketika berceramah.
Antara pihak yang turut menegur ialah Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar serta Ketua Wanita AMANAH, Aiman Athirah Al Jundi yang mengingatkan bahawa sejarah para sahabat perlu dibincangkan secara beradab, berhikmah dan berpandukan disiplin ilmu Islam.
Dr Zulkifli dalam hantaran itu turut memetik Surah At-Tawbah ayat 100 yang menjelaskan kedudukan mulia golongan sahabat di sisi Allah SWT.
Isu berkenaan terus menjadi perdebatan di media sosial dengan ramai pengguna menggesa semua pihak lebih berhati-hati ketika membicarakan sejarah para sahabat Rasulullah SAW agar tidak menimbulkan fitnah, kekeliruan atau penghinaan terhadap agama.
BACA JUGA Nik Zawawi, bertaubatlah, kata Pemuda Pas Selangor