Ustaz Pas cakap sedap mulut, Nik Zawawi pula tuduh tegur melulu

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dilihat berterusan mengundang kecaman orang ramai apabila menganggap pihak tertentu yang menegurnya susulan kenyataan berkaitan para sahabat Rasulullah SAW sebagai menegur secara melulu.

Dalam klip rakaman yang tular di platform Threads, Nik Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, tiada riwayat pada perkara yang berlaku pada zaman jahiliyah.

“Kepada yang menegur cara melulu itu, jangan melulu tegur kerana perkara yang berlaku pada zaman jahiliyah itu sememangnya tidak ada riwayat.

“Kalau ada riwayat pun, ia mesti dhaif. Itu zaman jahiliyah.

“Cuma tersilap apabila saya sandarkan kepada Saidina Abu Bakar, Umar dan para sahabat Nabi Muhammad SAW,” kata wakil rakyat Pas itu lagi.

Pilihan raya

Menjengah ke ruangan komentar, rata-rata menempelak ulama Pas berkenaan termasuk berpendapat Nik Zawawi seolah-olah masih berpegang pada ceritanya mengenai sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW.

Sebelum ini, Nik Zawawi menggambarkan empat sahabat Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib mempunyai sejarah hidup keji sebelum memeluk Islam.

Tuduhnya yang kemudian mengundang kritikan banyak pihak, Sayidina Abu Bakar sebagai seorang “bapa ceti” yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman Jahiliyah.

Dalam program ceramah Pas di Kuala Terengganu yang tular itu, Sayidina Umar pula digambarkannya sebagai lelaki zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.

Susulan itu, netizen turut menyifatkan kenyataan permohonan maaf Nik Zawawi selepas dihujani kecaman hanya kerana pilihan raya sudah semakin hampir.

“Ayat hujung-hujung tu dia tetap katakan zaman jahiliyah tiada riwayat untuk orang awam rujuk.

“Kalau tiada riwayat seperti yang dia cakap tu, jadi apa dia cakap sebelum ni tentang zina, ceti tu, dia rujuk dari mana ye? Ramai nak tahu yang tu sebab itu yang keluar dari mulut dia.

“Kesudahannya, yang tegur melulu pula salah. Parah ni!

“Sangat-sangat menyedihkan. Ustaz-Ustaz Pas ni cakap ikut sedap mulut. Pasal sahabat Nabi yang empat tu. Apa lagilah kita yang bukan Pas, hancur lumat dicaci maki… jebon, dajjal, munafik…

“Minta maaf sebab nak PRU/PRN je tu,” demikian antara kecaman warganet di Threads.

BACA JUGA Tanah kolam takungan banjir KL dipindah kepada pemaju: Tengku Adnan rupanya tak tahu