Tambah Adun lantikan bukan jawapan, PH Johor mahu Dun baru

Pakatan Harapan (PH) Johor menolak cadangan penambahan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di negeri itu, sebaliknya mahu kerajaan meneliti semula persempadanan kawasan pilihan raya bagi memastikan representasi rakyat lebih adil dan seimbang.

PH Johor berkata isu sebenar yang perlu diselesaikan bukan menambah ADUN lantikan, tetapi ketidakseimbangan jumlah pengundi antara kawasan DUN yang semakin ketara susulan pertumbuhan pesat penduduk terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Dalam satu kenyataan bersama, gabungan itu menegaskan terdapat kawasan DUN yang kini menanggung jumlah pengundi terlalu besar sehingga menjejaskan keberkesanan khidmat wakil rakyat kepada masyarakat.

“Penambahan ADUN lantikan tidak seharusnya dijadikan jalan mudah untuk menangani isu representasi rakyat.

“Fokus utama seharusnya diberikan kepada reformasi persempadanan, pengukuhan institusi demokrasi serta memperkasakan mandat rakyat melalui wakil rakyat yang dipilih secara langsung,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan ditandatangani Pengerusi PH Johor merangkap Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan, Pengerusi KEADILAN Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching.

PH Johor berkata kali terakhir proses persempadanan semula dilakukan ialah pada Mac 2018 dan kini sudah melepasi tempoh lapan tahun untuk semakan semula kawasan pilihan raya.

Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya Johor setakat Disember 2025, negeri itu mempunyai lebih 2.7 juta pengundi melibatkan 56 kawasan DUN dengan purata sekitar 48,526 pengundi bagi setiap kawasan.

Bagaimanapun, terdapat jurang besar antara beberapa kawasan apabila DUN Kota Iskandar merekodkan lebih 131,000 pengundi manakala DUN Tenang hanya sekitar 23,000 pengundi.

PH Johor menyifatkan keadaan itu sebagai tidak seimbang dari sudut prinsip demokrasi dan representasi rakyat.

Selain Kota Iskandar, lima lagi DUN di Johor mempunyai jumlah pengundi melebihi 100,000 orang iaitu Puteri Wangsa, Tiram, Permas, Perling dan Skudai.

Menurut PH Johor, pertambahan pengundi dijangka terus meningkat susulan pembangunan pesat termasuk projek Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) dan Rapid Transit System (RTS).

Katanya, taburan pengundi yang lebih seimbang penting bagi memastikan wakil rakyat mampu mengurus isu kebajikan, pembangunan, infrastruktur dan aduan rakyat secara lebih efektif.

Sehubungan itu, PH Johor memaklumkan pihaknya akan melancarkan kempen kutipan tandatangan bantahan terhadap cadangan penambahan ADUN lantikan sama ada secara fizikal atau dalam talian bagi memberi ruang kepada rakyat menyatakan pendirian mereka secara terbuka.

BACA JUGA Rupanya bukan kali pertama Nik Zawawi cakap ikut sedap mulut