Kerajaan MADANI lancar mediasi percuma untuk PKS

Kerajaan MADANI bakal melancarkan Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono AIAC pada 18 Mei ini sebagai langkah memperluas akses rakyat kepada sistem keadilan yang lebih cepat, murah dan mudah dicapai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Jemaah Menteri telah dimaklumkan mengenai aspirasi nasional penubuhan Pusat Mediasi MADANI (PMM) yang akan menjadi antara mekanisme utama memperkasa budaya penyelesaian pertikaian secara pengantaraan atau mediasi di negara ini.

Menurut beliau, PMM diwujudkan bagi menyokong agenda reformasi institusi Kerajaan MADANI khususnya dalam memperluas akses kepada keadilan atau access to justice kepada rakyat secara lebih inklusif dan berkesan.

Katanya, pusat tersebut akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh perkhidmatan mediasi secara lebih tersusun termasuk memperhebat advokasi mengenai pengantaraan, meningkatkan kompetensi pengantara tempatan serta membina keyakinan rakyat terhadap mekanisme penyelesaian pertikaian di luar mahkamah.

Beliau berkata, usaha itu juga melibatkan kerjasama strategik bersama pelbagai agensi dan institusi berkaitan bagi memastikan sistem pengantaraan negara dapat diperkasakan secara menyeluruh.

Selaras dengan aspirasi itu, Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono AIAC diperkenalkan sebagai langkah baharu bagi membantu rakyat dan pemain industri menyelesaikan pertikaian komersial tanpa perlu menanggung kos tinggi proses litigasi.

Melalui inisiatif tersebut, Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) akan menyediakan khidmat pengantaraan secara percuma untuk 26 jenis pertikaian komersial membabitkan tuntutan bernilai RM250,000 dan ke bawah.

Antara skop pertikaian yang boleh dirujuk termasuk sektor perkhidmatan, pembekalan, jual beli, perdagangan, pemasaran, hartanah, syarikat dan perkongsian, selain e-dagang dan ekonomi digital.

Azalina berkata, bermula 18 Mei 2026 orang ramai boleh merujuk pertikaian komersial mereka sama ada secara terus kepada AIAC atau melalui platform dalam talian yang disediakan.

Menurut beliau, setakat ini seramai 170 pengantara tempatan dan antarabangsa telah menyatakan sokongan serta kesediaan untuk mengendalikan proses mediasi secara percuma di bawah inisiatif berkenaan.

Katanya, pendekatan itu dijangka memberi manfaat besar khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan usahawan serta pemain industri termasuk sektor kreatif yang sering berdepan pertikaian bernilai kecil tetapi memerlukan kos guaman tinggi.

Beliau menjelaskan, proses mediasi dilihat lebih praktikal kerana ia mampu mempercepat penyelesaian pertikaian selain mengurangkan beban kewangan pihak terlibat berbanding proses perundangan konvensional.

Tambahnya, inisiatif itu juga mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam mempertingkat kecekapan sistem keadilan negara melalui pendekatan reformasi institusi yang lebih progresif dan mesra rakyat.

Dalam masa sama, langkah tersebut dilihat mampu membantu mengurangkan kes tertunggak serta menggalakkan budaya penyelesaian pertikaian secara rundingan yang lebih harmoni dan profesional.

Azalina menegaskan bahawa kerajaan akan terus memperkukuh sistem keadilan negara agar lebih responsif, inklusif dan mampu memenuhi keperluan rakyat serta komuniti perniagaan dalam landskap ekonomi moden.

BACA JUGA Ketua Polis Negara bersuara isu kenyataan kontroversi Nik Zawawi