Dulu kilang, sekarang AI hab : Selangor jadi ‘jantung digital’ Malaysia

Selangor yang suatu ketika dahulu terkenal sebagai pusat perindustrian kini sedang bergerak pantas menjadi hab ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI) negara apabila pusat data Tier IV pertama di Semenanjung Malaysia rasmi dilancarkan di Petaling Jaya.

Kemudahan dikenali sebagai KL1 itu dibangunkan syarikat Australia, NEXTDC menerusi pelaburan bernilai RM1 bilion dan dilihat sebagai antara projek digital berprofil tinggi yang mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam perlumbaan ekonomi AI serantau.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata transformasi tersebut mencerminkan perubahan besar landskap ekonomi negeri daripada hab pengeluaran tradisional kepada pusat perkhidmatan digital bernilai tinggi.

Menurut beliau, Petaling Jaya sendiri mempunyai sejarah panjang sebagai bandar satelit dan pusat perindustrian sejak era sebelum kemerdekaan, namun kini sedang melalui evolusi baharu sebagai pusat teknologi moden.

“Jika Petaling Jaya bermula sebagai hab pembuatan, hari ini ia telah beralih menjadi hab perkhidmatan bernilai tinggi,” katanya ketika berucap pada pelancaran fasiliti tersebut.

Amirudin turut memuji peranan Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang menurutnya berjaya meletakkan Malaysia lebih kukuh dalam peta digital global menerusi penubuhan Kementerian Digital dan pelbagai inisiatif berkaitan AI serta ekonomi data.

Menurut beliau, dalam dunia moden yang semakin bergantung kepada data dan AI, pusat data kini memainkan peranan seperti “sistem pengangkutan” kepada ekonomi global baharu.

Katanya, tanpa infrastruktur digital seperti pusat data, pelbagai perkhidmatan moden termasuk pengkomputeran awan, AI dan ekonomi digital sukar berkembang secara besar-besaran.

KL1 juga menjadi pusat data Tier IV pertama di Semenanjung Malaysia yang direka khusus untuk operasi berskala tinggi termasuk sektor e-dagang, pengkomputeran awan, kesihatan dan infrastruktur kritikal.

Lebih menarik, fasiliti tersebut turut diiktiraf sebagai AI-ready selepas memperoleh pensijilan daripada NVIDIA menerusi Data Centre Certification Programme.

Dalam masa sama, Amirudin berkata kerajaan negeri turut mengambil serius kebimbangan rakyat berkaitan penggunaan tenaga, air dan kesan alam sekitar susulan pertumbuhan pesat industri pusat data.

Beliau menjelaskan pihak NEXTDC telah mengambil beberapa langkah mitigasi termasuk penggunaan sistem penyejukan udara dan teknologi penuaian air hujan bagi mengurangkan kesan terhadap komuniti setempat.

Amirudin turut mencadangkan supaya kerajaan negeri diberikan peranan lebih besar dalam Data Centre Task Force (DCTF) di peringkat persekutuan supaya pembangunan industri pusat data dapat diselaraskan secara lebih strategik di seluruh negara.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan Malaysia mampu mencapai aspirasi menjadi negara AI menjelang tahun 2030 tanpa mengabaikan aspek kelestarian dan kesejahteraan rakyat.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyifatkan keputusan NEXTDC memilih Selangor sebagai lokasi pertama pelaburan luar Australia sebagai petanda keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan dan masa depan ekonomi digital Malaysia.

BACA JUGA Khairy kata ekonomi Malaysia lebih stabil di bawah Anwar