Ancaman dadah ‘zombi’: KKM bakal umum langkah tangani dalam masa terdekat

Penyalahgunaan dadah jenis ‘fentanyl’ atau dadah ‘zombi’ menerusi penggunaan vape amat diberi perhatian Kementerian Kesihatan (KKM).

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, isu vape terutama yang melibatkan sistem terbuka seperti penggunaan botol, pod dan kartrij telah lama diberi perhatian oleh KKM bersama agensi penguat kuasa berkaitan.

Katanya, terdapat kebimbangan berhubung penyalahgunaan peranti elektronik itu apabila ia diubah suai atau dicampur dengan bahan tertentu, termasuk dadah sintetik.

Beliau menyifatkan keadaan tersebut memerlukan tindakan lebih tegas dan bersepadu kerana melibatkan risiko kesihatan awam.

“Ini adalah perkara yang sangat diberi perhatian. Sehubungan itu, dalam masa terdekat KKM akan membuat pengumuman tertentu tentang langkah-langkah yang akan diambil.

“Sangat penting untuk KKM bekerjasama dengan KDN (Kementerian Dalam Negeri), PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Kastam,” katanya.

Sebelum ini, KKM telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi meneliti isu penggunaan vape daripada sudut perundangan serta kesan kesihatan.

Untuk rekod, dadah ‘zombi’ furanyl fentanyl dipercayai 50 ke 100 kali lebih kuat daripada morfin.

Bulan lalu, pihak PDRM mendedahkan bahawa dadah berbahaya itu kini mula dijual dalam pasaran rokok elektronik (vape) secara terbuka kepada pelanggan tetap.

Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman melancarkan Op Vape 1.0 di seluruh negara bermula 13 hingga 17 April lalu membabitkan rampasan RM4.6 juta.

Operasi tersebut membabitkan JSJN, KKM, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi-agensi lain.

Hasil serbuan dijalankan itu, polis mengesan dadah furanyl fentanyl sudah mula dijual di premis vape apabila menahan lima orang dalam serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur.

BACA JUGA Dulu memfitnah lawan politik, kini Pas menghina para sahabat Nabi SAW