Bukannya isu Melayu tergadai, PN beri laluan kepada UEC tiada pula bantah
Oleh JAMZURI ARDANI
Politik Malaysia didominasikan oleh sentimen, bukan fakta.
Kecoh kononnya hari gelap buat Malaysia bila lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diterima masuk IPTA.
Padahal, UEC ini sudah diiktiraf untuk diterima masuk IPG sejak zaman Datuk Seri Najib Razak jadi Perdana Menteri lagi.
Tujuannya ialah untuk melatih guru-guru Bahasa Cina di SRJKC dan SMJKC. Ada asasnya keputusan itu.
Tidak banyak bantahan waktu itu kerana pembangkang yang dianggotai PKR, Pas, dan DAP juga cenderung menyokong keputusan tersebut. Jadi, keputusan itu tidak menjadi polemik.
Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sudah lama mengiktiraf sijil UEC. Bagi mereka UEC sama dengan sijil-sijil lain yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Kebanyakan rakyat tidak tahu pun bahawa kerajaan BN pada zaman Najib sudah mengiktiraf UEC untuk diterima masuk ke IPG, institut latihan perguruan yang dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Tahun 2018, kerajaan PH 1.0 di bawah Tun Mahathir membatalkan pengiktirafan tersebut. Pun begitu, Pas dan Umno tetap menuduh PH1.0 tunduk pada DAP. Fakta dan sentimen bergerak bertentang hala.
Tahun 2022, semasa di bawah PN kerajaan kembali mengiktiraf UEC untuk diterima semula ke IPG.
Waktu itu, Pas berada dalam kerajaan dan mereka pun tidak bantah. Mungkin waktu itu UEC bagus kerana DAP tidak berada dalam kerajaan. UEC hanya buruk jika DAP ada dalam kerajaan. Kalau tidak, semuanya elok sahaja.
Hari ini Kerajaan Madani mengumumkan lulusan sijil Tahfiz dan UEC diterima untuk masuk IPTA dengan syarat-syarat tertentu dan mereka dihadkan hanya boleh mengambil kursus tertentu sahaja.
Tidak ada beza sangat pun syarat kemasukan lulusan UEC ke IPG dan IPTA.
Jika di IPG mereka hanya diterima untuk Kursus Mengajar Bahasa Cina, di IPTA pun mereka hanya dibenarkan memgambil kursus-kursus berkaitan Pengajian Bahasa Cina.
Jika tanya saya, memang ada rasionalnya. Ini bukan soal sokong Cina atau khianat Melayu. Naratif itu terlalu clichè untuk saya. Ini soal keperluan semasa rakyat.
Sekolah-sekolah tahfiz dan sekolah vernakular kedua-duanya memerlukan peningkatan kualiti pengajaran dari guru-guru yang terlatih. Kalau pun mungkin tidak setara dengan aliran arus perdana, tetapi tidaklah terlalu jauh ketinggalan.
Melatih guru-guru ini di IPG dan IPTA adalah pilihan polisi yang lebih baik dan progresif.
Anda nak kata barua, khianat atau Melayu tak sedar diri ke, ada saya kisah?
Allah bagi saya akal untuk saya fikir dan faham. Kita makhluk yang terlalu mulia di sisi Allah untuk dibutakan akal dengan emosi perkauman sempit.
BACA JUGA PH Johor persoal lima ADUN lantikan: Sah di sisi undang-undang, tapi perlu ke?