Konvensyen PH esok perlu jadi persiapan pertembungan 3 penjuru
Konvensyen Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung esok perlu menjadi medan penting untuk membincangkan persediaan menghadapi pertembungan tiga penjuru, kata Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat.
Ini berikutan pengumuman Menteri Besat Johor bahawa BN akan bertanding kesemua 56 Dun di Johor dalam pilihan raya negeri yang dijangka akan berlangsung tidak lama lagi.
Sehubungan itu, katanya, wakil-wakil negeri serta pimpinan utama PH perlu memberikan halatuju dan pendirian yang lebih jelas berhubung strategi menuju PRN dan PRU akan datang agar seluruh jentera dan penyokong memahami bentuk kerjasama politik yang bakal dihadapi.

Bagi Suhaizat, pengumuman tersebut memberikan panduan politik yang jelas bahawa landskap Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum akan datang berkemungkinan besar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.
“Realiti politik ini perlu diterima dengan matang dan dibincangkan secara terbuka demi memastikan rakyat mendapat penjelasan yang jujur tentang hala tuju politik negara dan negeri,” katanya.
Katanya, selain pengumuman BN bertanding di semua 56 DUN Johor, peristiwa undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan baru-baru ini juga menjadi indikator bahawa dinamika politik menuju PRU16 semakin menjurus kepada pertandingan pelbagai penjuru.
“Persoalan besar yang perlu dijawab ialah bagaimana Kerajaan Perpaduan dapat terus berfungsi dengan stabil apabila parti-parti komponen mula bergerak sebagai pesaing secara terbuka di peringkat negeri dan nasional,” kata beliau dalam satu kenyataannya hari ini.
Rakyat juga, kata beliau, pastinya ingin melihat bagaimana bentuk kempen yang akan berlangsung apabila Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan dan Timbalan Perdana Menteri daripada Barisan Nasional berada dalam satu kerajaan Persekutuan tetapi berkempen sebagai lawan dalam PRN Johor.
Keadaan di Sabah, katanya, mungkin berbeza kerana budaya politik negeri tersebut sejak dahulu memperlihatkan hubungan berbeza antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Namun budaya politik sedemikian bukan kebiasaan di Johor dan memerlukan penjelasan yang lebih tersusun kepada rakyat, katanya.
PILIHAN RAYA SERENTAK
“Bagi mengelakkan kecelaruan dalam kalangan pengundi, saya berpandangan bahawa pilihan raya secara serentak melibatkan PRN dan PRU wajar dipertimbangkan sekiranya senario pertandingan tiga penjuru benar-benar berlaku.
“Langkah ini bukan sahaja memberi direction yang lebih jelas kepada rakyat, malah dapat menjimatkan kos pentadbiran pilihan raya serta membolehkan kerajaan yang terbentuk selepas itu memberi fokus penuh kepada usaha menangani cabaran ekonomi dan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Yang paling penting, katanya, rakyat mahukan kejelasan, kestabilan dan kejujuran politik. Semua pihak perlu bersikap telus dalam menentukan halatuju politik negara demi masa depan Malaysia dan Johor yang lebih stabil.
BACA JUGA Samsuri sebagai ketua pembangkang: Antara bakal PM atau pasu bunga