Johor maju sebab kerjasama kerajaan perpaduan, bukan satu parti – PH tempelak BN

Pakatan Harapan (PH) Johor menegaskan banyak pembangunan besar yang sedang dinikmati negeri itu hari ini terhasil daripada kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, bukan usaha satu parti secara bersendirian.

Kenyataan itu dibuat susulan keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri akan datang.

Menurut PH Johor, mereka menghormati hak BN untuk menentukan hala tuju politik sendiri, namun rakyat tidak seharusnya melupakan bahawa pelbagai projek strategik negeri ketika ini digerakkan melalui kerjasama kerajaan campuran di Putrajaya.

“BN Johor perlu berlaku jujur kepada rakyat bahawa kestabilan dan pembangunan negeri pada hari ini bukan berlaku secara bersendirian,” kata gabungan itu dalam kenyataan bersama hari ini.

PH berkata antara contoh paling jelas ialah usaha menyelesaikan kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar (CIQ) dan Tambak Johor yang melibatkan pelbagai kementerian Persekutuan bersama kerajaan negeri.

Selain itu, mereka turut membangkitkan projek ETS ke Johor Bahru, kemasukan pelaburan strategik melalui MITI, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta penambahbaikan kemudahan awam yang menurut mereka lahir daripada kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut PH Johor lagi, kestabilan politik yang wujud hari ini menjadi faktor utama keyakinan pelabur terhadap Johor ketika ekonomi global masih tidak menentu.

Gabungan itu turut membayangkan bahawa tindakan BN Johor mahu bergerak solo boleh menimbulkan persoalan sama ada parti tersebut mahu menikmati manfaat hasil kerjasama kerajaan, tetapi mengambil pendekatan berbeza apabila berdepan pilihan raya.

“Rakyat berhak menilai pendirian politik yang berubah apabila tiba musim pilihan raya,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam masa sama, PH Johor menegaskan mereka sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk jika PRN diadakan dalam situasi pertandingan pelbagai penjuru.

Mereka berkata fokus utama tetap untuk memastikan agenda pembangunan Johor, pelaburan asing dan kesejahteraan rakyat dapat diteruskan tanpa terganggu oleh percaturan politik sempit.

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Pengerusi PH Johor merangkap Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor, Dr Zaliha Mustafa dan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching.

BACA JUGA Samsuri sebagai ketua pembangkang: Antara bakal PM atau pasu bunga