Perpaduan jadi benteng ketika dunia tak menentu, pesan Anwar 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya terus memelihara perpaduan dan semangat kebersamaan ketika dunia sedang berdepan pelbagai cabaran global termasuk krisis tenaga dan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Menurut beliau, dalam suasana dunia yang semakin tidak menentu, kekuatan sesebuah negara bukan hanya bergantung kepada ekonomi semata-mata tetapi juga kestabilan sosial dan hubungan baik antara rakyat pelbagai kaum.

Anwar berkata demikian ketika menghadiri sesi minum petang bersama masyarakat Cina di Parlimen Tambun di sebuah restoran di Chemor.

Beliau berkata pertemuan santai itu memberi ruang untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa termasuk keadaan ekonomi dunia, keamanan dan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

“Kami bertukar pandangan mengenai pelbagai isu setempat, semasa dan global termasuk pentingnya memelihara keamanan, memperkukuh perpaduan serta menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Menurut Anwar, rakyat Malaysia perlu terus mempertahankan budaya muafakat dan toleransi yang menjadi kekuatan utama negara sejak sekian lama.

Beliau turut menyentuh cabaran global semasa termasuk krisis tenaga dunia serta perkembangan konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada ekonomi dan kestabilan antarabangsa.

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata hubungan baik antara kaum dan masyarakat perlu terus diperkukuh supaya Malaysia kekal aman dan stabil ketika banyak negara lain sedang bergelut dengan ketegangan sosial serta politik.

Sebelum beredar, Anwar turut meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama komuniti setempat, peniaga serta orang ramai yang hadir memeriahkan program tersebut.

Suasana pertemuan itu dilihat berlangsung santai dan mesra dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat sekitar Tambun dan Chemor.

BACA JUGA PKR: Parti pernah lalui lebih besar daripada pengunduran Asheeq