‘Ingat! Kita baik, tetapi kita tidak bodoh!’, penegasan Wanita PH gegar Johor

‘Ingat! Kita baik, tetapi kita tidak bodoh!’

Berulang kali Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Datuk Aiman Athirah Sabu menegaskan nilai kesetiaan parti-parti komponen PH yang terus mempertahankan semangat kerjasama tidak harus diperlekeh.

Beliau menegaskan PH kekal teguh berdiri bukan kerana gabungan itu sempurna, tetapi kerana rakyat masih meletakkan harapan tinggi terhadap perjuangan reformasi yang dijunjung.

Tegasnya, perjalanan PH bukanlah mudah kerana gabungan itu telah melalui pelbagai episod jatuh bangun, fitnah, penghinaan dan cubaan mematahkan semangat perjuangan.

“Kita pernah diketawakan, pernah diejek dengan gelaran ‘PM tepi’. Kita juga pernah diramal bahawa perjuangan reformasi ini akan berakhir.

“Tetapi hari ini kita masih berdiri teguh di sini bukan semata-mata kerana kita kuat, tetapi kerana rakyat masih menaruh harapan kepada PH,” katanya berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 hari ini.

Menurutnya, rakyat memahami bahawa tiada kerajaan yang benar-benar sempurna, namun PH tidak pernah mengkhianati kepercayaan yang diberikan.

“Genetik PH ialah apabila kita berkawan, kita setia pada janji dan persahabatan.

“Kita tidak tahu untuk berbuat khianat,” katanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di Johor Bahru.

Penghormatan

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menegaskan PH tidak pernah memulakan langkah untuk bertanding secara bersendirian.

Namun, Ahli Parlimen Sepang berkenaan menegaskan bahawa sikap berbaik sangka itu tidak bermakna PH boleh dipermainkan.

“Kita baik, tetapi kita tidak bodoh!” tegasnya disambut tepukan gemuruh kira-kira 8,000 perwakilan.

Dalam suasana politik global yang semakin kasar dan media sosial sarat kebencian serta fitnah, Athirah berkata, PH memilih jalan yang lebih sukar iaitu membina negara secara bertanggungjawab.

“Kita tidak menunggang kemarahan rakyat. Kita bekerja untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Kita tidak membina pengaruh dengan memecah-belahkan masyarakat, sebaliknya membina Malaysia dengan perpaduan, kestabilan, ihsan dan rendah diri untuk terus bekerjasama,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan politik kebencian mungkin mampu menang untuk sehari, tetapi politik membina negara akan menentukan masa depan negara.

Aiman Athirah turut memberi penghormatan kepada kaum wanita yang disifatkannya sebagai benteng kekuatan utama PH sejak awal perjuangan reformasi.

“Kalau hari ini PH masih teguh berdiri, wanitalah antara benteng kekuatan PH.

“Ketika orang lain berehat di rumah, wanita turun dari rumah ke rumah.

“Ketika fitnah menyerang tanpa henti, wanita mempertahankan perjuangan ini di semua medan termasuk media sosial dan warung kopi,” katanya.

Beliau berkata ramai wanita bergerak tanpa jawatan, tanpa elaun dan tanpa pujian, namun tetap setia kerana percaya bahawa perjuangan reformasi lebih besar daripada kepentingan peribadi.

“Politik membina negara akan menang untuk masa depan,” kata Athirah lagi.

BACA JUGA ‘Inilah kali pertama Malaysia ada Perdana Menteri yang tidak rasuah’