Laungan takbir iringi usul Pas rampas kerusi Shah Alam dari Bersatu
Pemuda Pas Shah Alam sebulat suara meluluskan usul agar calon Pas mengambil alih kerusi Parlimen Shah Alam dari Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.
Ia dicapai dalam Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda Pas Shah Alam hari ini dengan diiringi oleh laungan takbir oleh anggota mesyuarat itu.
“Laungan TAKBIR berkumandang dan semua perwakilan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Shah Alam, BANGUN tanda sokongan usul tergempar!!!” tulis laman facebook Pas Shah Alam hari ini.
Pemuda Pas juga meluluskan usul agar parti itu bertanding di Dun Kota Anggerik dan Batu Tiga.
Dalam PRU 15 lalu, PN meletakkan Hizatul Isham bin Abdul Jalil (Isham Jalil) dari Bersatu mewakili parti itu di Parlimen Shah Alam, namun tewas di tangan calon PH dari AMANAH, Azli Yusof dengan majoriti 18,095.
Perebutan kerusi antara Pas dan Bersatu semakin sengit sejak akhir-akhir ini terutama selepas geng Datuk Seri Hamzah Zainudin dihalau dari Bersatu.
Kepimpinan Pas pula menunjukkan kecenderungan kepada Hamzah berbanding Tan Sri Mahiaddin Yassin.
BACA JUGA KONVENSYEN PH | Kita sedia pilihan raya di seluruh negara – Anwar Ibrahim