Raya Haji jatuh 27 Mei, umat Islam mula sambut Zulhijah esok

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada Rabu, 27 Mei ini selepas tarikh 1 Zulhijah 1447 Hijrah ditetapkan jatuh pada 18 Mei 2026.

Pengumuman rasmi itu dibuat oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong serta persetujuan Raja-Raja Melayu.

Menurut kenyataan tersebut, penetapan tarikh dibuat bagi seluruh negeri di Malaysia.

“1 Zulhijah 1447 Hijrah ialah pada 18 Mei 2026 Masihi.

“Oleh yang demikian, Hari Raya Korban, 10 Zulhijah bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Rabu, 27 Mei 2026 Masihi,” menurut kenyataan itu.

Pengumuman berkenaan sekali gus menandakan umat Islam akan mula memasuki bulan Zulhijah esok yang turut sinonim dengan ibadah korban dan musim kemuncak haji di Mekah.

Hari Raya Aidiladha merupakan antara perayaan utama umat Islam yang disambut bagi memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.

Di Malaysia, sambutan Aidiladha biasanya disertai ibadah korban melibatkan lembu, kambing dan kerbau di masjid serta surau seluruh negara.

BACA JUGA Rafizi, Nik Nazmi keluar PKR, Fuziah rujuk Speaker?