Apa perkembangan kes Nik Zawawi? Ini respon polis Kelantan

Polis Kelantan telah pun merakam keterangan Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung ucapannya yang menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.

Setakat ini, sebanyak 65 keterangan telah dirakam termasuk pengadu yang membuat laporan polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan buat masa ini akan diteruskan, dan akan ditentukan kemudian sama ada pemimpin Pas itu akan dipanggil semula atau tidak.

Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Minggu lalu kecoh gara-gara ucapan Nik Zawawi yang didakwa menghina sahabat Nabi ketika berceramah di Kuala Terengganu 

Beliau menggambarkan Abu Bakar sebagai ‘bapa ceti’ kerana gemar memberi pinjaman kepada orang ramai dan menekan golongan miskin, manakala Umar dikatakan berperwatakan ganas dan suka berzina.

Parti-parti politik seluruh negara dan NGO Islam tampil membuat laporan polis berkenaan ucapan Ahli Parlimen Pasir Puteh itu.

Pas telah pun meminta maaf selepas tiga hari diasak berbuat demikian.

BACA JUGA Kerajaan Perpaduan 2.0 atau perpisahan menjelang PRU16?