Suhaizan laung amaran, ini peluang terakhir BN
Suhaizan Kaiat memberi bayangan bahawa Pakatan Harapan bersedia bertanding secara solo di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen sekiranya Barisan Nasional terus menolak semangat kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan.
Dalam kenyataan media hari ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata PH sejak awal telah menghulurkan tangan kerjasama demi kestabilan politik Johor termasuk mencadangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan negeri seperti model di Melaka.
Namun katanya, cadangan tersebut ditolak pimpinan BN Johor yang memilih untuk bergerak sendiri.
“Pakatan Harapan sejak awal telah menghulurkan tangan kerjasama demi kestabilan politik dan masa depan rakyat Johor.
“Malangnya, cadangan tersebut telah ditolak oleh pimpinan Barisan Nasional Johor,” katanya.
Suhaizan turut mendakwa PH pernah memberi ruang kepada BN untuk bersama dalam kerajaan negeri di Negeri Sembilan, namun usaha itu gagal selepas wujud percaturan politik termasuk cubaan membawa usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar negeri itu.
Beliau berkata kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan juga telah memainkan peranan besar dalam pembangunan Johor menerusi projek strategik seperti ETS, RTS, JS-SEZ dan pelaburan pusat data.
Namun menurutnya, kerajaan negeri seolah-olah cuba menggambarkan kejayaan tersebut sebagai usaha negeri semata-mata tanpa mengiktiraf sumbangan kerajaan Persekutuan.
Dalam masa sama, beliau mendakwa PH turut membuka ruang rundingan kerusi menjelang PRN Johor bagi memastikan pertandingan lebih tersusun antara parti-parti kerajaan perpaduan.
Bagaimanapun katanya, BN memilih untuk bertanding solo di semua 56 kerusi DUN Johor.
Suhaizan berkata Presiden PH yang juga Anwar Ibrahim masih memberikan “peluang terakhir” kepada BN untuk mempertimbangkan semula rundingan kerusi demi kestabilan politik.
“Sekiranya Barisan Nasional terus memilih jalan keangkuhan politik dan menolak semangat kerjasama, maka Pakatan Harapan bersedia untuk bertanding di semua kerusi DUN dan Parlimen di seluruh negara,” katanya.
Beliau turut membayangkan keadaan itu boleh membuka ruang kepada kemungkinan pilihan raya umum dan pilihan raya negeri diadakan secara serentak pada masa depan.
“Sekarang bola berada di kaki Barisan Nasional. Buatlah pilihan yang tepat antara keangkuhan politik tidak berkesudahan ataupun muafakat membawa berkat,” katanya lagi.
BACA JUGA Nik Nazmi letak jawatan, Hannah janji Setiawangsa tak terabai