Doha, Islamabad jadi ‘broker’ cari jalan tamat perang

Pakistan dan Qatar dilaporkan sedang memperhebat usaha diplomatik bagi menghidupkan semula rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang sebelum ini gagal mencapai persetujuan untuk menamatkan perang di Asia Barat.

Menurut laporan Anadolu Agency, Kementerian Luar Pakistan memaklumkan Menteri Luar negara itu, Ishaq Dar mengadakan perbualan telefon dengan Menteri Negara Qatar, Mohammed bin Abdulaziz Al-Khulaifi pada Isnin bagi membincangkan perkembangan terkini serantau dan isu berkepentingan bersama.

Menurut kenyataan kementerian itu, kedua-dua pihak menekankan kepentingan dialog dan pendekatan diplomatik dalam menangani ketegangan yang semakin memuncak di rantau tersebut.

Dar turut menegaskan komitmen Pakistan untuk terus mempromosikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

Perkembangan itu berlaku sehari selepas Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi melakukan lawatan ke Tehran dan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin tertinggi Iran termasuk Presiden Masoud Pezeshkian.

Lawatan tersebut dilihat sebagai sebahagian usaha Islamabad untuk membawa semula Washington dan Tehran ke meja rundingan selepas konflik berpanjangan terus menjejaskan rantau Asia Barat.

Pada Ahad, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif turut mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani bagi membincangkan situasi semasa di Timur Tengah.

Pakistan sebelum ini menjadi tuan rumah rundingan pertama antara AS dan Iran pada 11 hingga 12 April lalu, namun rundingan tersebut gagal menghasilkan persetujuan bagi menamatkan perang.

Rundingan itu berlangsung selepas gencatan senjata selama dua minggu yang dimediasi Pakistan pada 8 April sebelum dilanjutkan oleh Presiden AS, Donald Trump.

Sejak itu, kedua-dua pihak dilaporkan saling bertukar cadangan dan tuntutan balas dalam usaha mencari titik persamaan untuk menyambung semula rundingan secara langsung.

Konflik berterusan antara AS dan Iran ketika ini bukan sahaja menggugat kestabilan Asia Barat, malah turut menjejaskan bekalan tenaga global serta kehidupan harian rakyat di beberapa negara rantau tersebut.

BACA JUGA “Power bank gergasi” pertama negara mula beroperasi di Terengganu