Ekonomi Malaysia masih laju, disokong ledakan AI dan semikonduktor
Amir Hamzah Azizan berkata ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan positif apabila negara terus menerima kemasukan pelaburan asing dan domestik, khususnya dalam sektor kecerdasan buatan (AI), pusat data dan semikonduktor.
Beliau yang juga Menteri Kewangan II berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini membuktikan momentum ekonomi negara masih kukuh walaupun dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
“Kita nampak pelaburan langsung asing yang masuk telah mula membina KDNK, pelaburan langsung domestik dalam negara pun masih banyak yang masuk manakala perbelanjaan awam masih kuat,” katanya kepada pemberita selepas melawat kemudahan Intel di Bayan Lepas hari ini.
Menurut beliau, sektor AI dan pusat data terus berkembang pesat terutama di wilayah utara Semenanjung yang kini semakin menjadi tumpuan pelabur global.
“Saya rasa pemacu AI dan pusat data masih kukuh dan kita mempunyai ekosistem yang teguh di Malaysia, terutama di utara,” katanya.
Amir Hamzah berkata kerajaan melalui kerangka Ekonomi MADANI sedang bekerja untuk memastikan semua enjin pertumbuhan ekonomi negara terus bergerak lancar.
Beliau berkata selain pelaburan asing, kerajaan turut memberi penekanan kepada pengukuhan pelaburan domestik melibatkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menurutnya, usaha itu turut disertai langkah meningkatkan pendapatan rakyat termasuk kenaikan gaji penjawat awam, pelaksanaan gaji minimum dan pendekatan gaji kehidupan wajar.
Dalam lawatan kerja ke Pulau Pinang itu, Amir Hamzah turut meninjau projek LRT Laluan Mutiara, pembangunan Pulau Silikon dan projek pengembangan Intel.
Beliau berkata pembangunan infrastruktur seperti pembesaran persimpangan Juru, naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan projek LRT bakal memperkukuh ekosistem pelaburan serta memudahkan pergerakan tenaga kerja industri.
Menurut beliau, kerajaan juga memberi perhatian terhadap kestabilan utiliti termasuk bekalan elektrik dan air bagi menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi negara.
Amir Hamzah berkata projek pengembangan Intel termasuk pembangunan pembungkusan termaju akan membantu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab semikonduktor serantau.
BACA JUGA Kuasa Peguam Negara bakal dipisah? Reformasi besar masuk Parlimen Jun ini