JSM nafi keluar PO dan surat vendor : Orang ramai diminta waspada scam

Jabatan Standard Malaysia menafikan penglibatannya dalam penyebaran dokumen Pesanan Kerajaan (PO) dan surat pelantikan vendor yang didakwa dikeluarkan oleh jabatan itu.

Dalam kenyataan media, JSM menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan dokumen terbabit yang kini tular menerusi saluran tidak rasmi.

Menurut jabatan itu, semua urusan perolehan rasmi hanya dilaksanakan melalui sistem ePerolehan Kerajaan Malaysia mengikut prosedur kewangan yang ditetapkan.

“Orang ramai dan komuniti vendor diingatkan bahawa semua urusan perolehan rasmi JSM hanya dilaksanakan secara sah dan telus menerusi sistem ePerolehan Kerajaan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

JSM turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan dokumen mencurigakan yang mengandungi unsur penipuan serta penyamaran identiti pegawai jabatan.

Katanya, isu tersebut dipandang serius dan tindakan undang-undang sedang diambil bersama pihak berkuasa.

“Semakan pengesahan hendaklah dibuat terus melalui saluran rasmi jabatan sebelum sebarang transaksi dilakukan bagi mengelakkan implikasi kerugian,” menurut kenyataan itu lagi.

JSM menegaskan komitmennya untuk memastikan keselamatan, integriti dan ketelusan dalam setiap urusan pentadbiran serta perolehan kerajaan.

BACA JUGA Ustaz Kazim sanggah Nik Zawawi kononnya Saidina Abu Bakar bapa ceti