Iran letak 14 syarat, mahu AS bayar pampasan perang
Iran mendedahkan butiran terbaharu cadangan damai yang dikemukakan kepada Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan perang yang tercetus sejak serangan Washington dan Israel terhadap Tehran pada Februari lalu.
Menurut laporan IRNA dan Anadolu Agency, butiran tersebut didedahkan Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi dalam satu taklimat bersama Jawatankuasa Keselamatan Nasional dan Dasar Luar Parlimen Iran.
Beliau berkata, cadangan baharu Tehran menegaskan hak Iran untuk meneruskan program pengayaan uranium dan aktiviti nuklear aman tanpa campur tangan luar.
Selain itu, Iran turut menuntut penamatan konflik di semua medan termasuk di Lubnan, penarikan sekatan laut AS terhadap pelabuhan Iran serta pembebasan aset Iran yang dibekukan.
Tehran juga menuntut Washington membayar pampasan terhadap kerosakan akibat perang bagi membantu usaha pembinaan semula negara itu.
Cadangan tersebut turut menggesa penghapusan semua sekatan unilateral dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Iran.
Dalam masa sama, Iran mahu pengunduran tentera AS dari kawasan sekitar Republik Islam itu sebagai sebahagian syarat utama perjanjian damai.
Pada 10 Mei lalu, Iran menyerahkan maklum balas terhadap cadangan AS menerusi saluran mediasi Pakistan, namun Presiden Donald Trump menyifatkan cadangan Tehran sebagai “langsung tidak boleh diterima”.
Media Iran pada Isnin melaporkan Tehran kemudian menyerahkan versi baharu cadangan damai mengandungi 14 perkara kepada pihak AS melalui pengantara Pakistan.
Ketegangan kembali meningkat pada Sabtu selepas Trump mengeluarkan ancaman baharu terhadap Iran menerusi platform Truth Social.
Beliau memuat naik gambar kapal perang Amerika bersama sebuah kapal yang membawa bendera Iran dengan kapsyen: “IT WAS CALM BEFORE THE STORM.”
Bagaimanapun pada Isnin malam, Trump mengumumkan bahawa beliau menangguhkan serangan yang dirancang terhadap Iran selepas menerima permintaan daripada Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Trump berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Pertahanan AS supaya bersedia melancarkan serangan berskala penuh terhadap Iran “pada bila-bila masa” sekiranya tiada persetujuan dicapai.
Selepas rundingan damai yang dimediasi Pakistan gagal mencapai kata sepakat, AS mula melaksanakan sekatan terhadap pelabuhan Iran sejak 13 April termasuk kawasan strategik di Selat Hormuz.
Iran kemudian bertindak menutup Selat Hormuz dan mewajibkan semua kapal mendapatkan koordinasi dengan Tehran sebelum melalui laluan tersebut.
Tindakan itu mencetuskan kebimbangan bahawa gencatan senjata rapuh yang berkuat kuasa sejak 8 April lalu boleh runtuh sekiranya rundingan damai terus menemui jalan buntu.
BACA JUGA Netizen bandingkan ‘result’ 10A SPM ADUN KKB dengan Fadhli Shaari gara-gara isu lama ini