Saifuddin bayang perubahan besar tangani pelarian

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan kerajaan sedang melaksanakan satu projek khas berkaitan pengurusan pelarian yang disifatkan berpotensi menjadi “game changer” dalam landskap dasar pelarian negara.

Menurut beliau, projek tersebut kini dilaksanakan di bawah tanggungjawab Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

“Ia dilihat mampu membawa pendekatan baharu yang lebih menyeluruh dalam mengurus isu pelarian di Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen Malaysia 2025.

Saifuddin berkata perkara itu dibangkitkan selepas beliau mengadakan lawatan ke Depot Imigresen Bidor semalam bagi meninjau perkembangan projek berkenaan.

Menurutnya, laporan awal projek tersebut berjaya menarik perhatian anggota MTEN sehingga mencetuskan perbincangan panjang dan mendalam.

“Sebahagian besar anggota MTEN menunjukkan minat mengenai projek tersebut,” katanya.

Beliau berkata projek khas itu berpotensi membawa perubahan besar terhadap pendekatan Malaysia dalam mengurus isu pelarian secara lebih komprehensif pada masa depan.

Dalam masa sama, Saifuddin memaklumkan idea membawa perkara tersebut ke MTEN dicadangkan sendiri oleh Ketua Pengarah Imigresen.

Katanya, hasil perbincangan itu, Ketua Pengarah Imigresen kini diminta menyediakan pembentangan lanjut kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

“Satu nota Jemaah Menteri dijangka disediakan sekitar minggu kedua Jun depan,” katanya lagi.

Menurut beliau, beberapa menteri turut meminta penjelasan lebih terperinci kerana projek berkenaan mempunyai implikasi besar terhadap dasar pengurusan pelarian negara pada masa hadapan.

BACA JUGA Azalina mahu semua Ahli Parlimen faham tujuan sebenar had jawatan PM