290 liter diesel disorok, PGA patahkan cubaan seludup ke Thailand
Cubaan menyeludup 290 liter diesel bersubsidi ke Thailand berjaya digagalkan Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi satu serbuan di Kampung Rahmat, Lubok Setol, Pasir Mas pada Isnin.
Serbuan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu dilakukan anggota Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan kira-kira jam 6 petang hasil maklumat awam.
Menurut kenyataan PGA, pemeriksaan di sebuah rumah tidak berpenghuni di kawasan berkenaan menemukan sejumlah diesel yang dipercayai disimpan untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran.
“Kesemua barang yang dirampas disita untuk tindakan lanjut sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Lubok Setol,” menurut kenyataan itu.
Rampasan kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Pasir Mas bagi tujuan siasatan lanjut.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,363 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
PGA turut menegaskan bahawa rondaan dan pemantauan di kawasan sempadan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan penyeludupan bahan api bersubsidi ke Thailand.
BACA JUGA Netizen bandingkan ‘result’ 10A SPM ADUN KKB dengan Fadhli Shaari gara-gara isu lama ini