Jangan heret titah Sultan ke gelanggang politik – AMANAH Selangor

AMANAH Selangor mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan terhadap titah Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi tujuan politik atau mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

Dalam satu kenyataan media Pengerusi Komunikasi AMANAH Selangor, Abbas Azmi berkata, titah Sultan Selangor yang mengingatkan generasi muda mengenai kepentingan Rukun Negara dan perpaduan seharusnya diterima secara terbuka dan difahami dalam semangat nasihat demi keharmonian rakyat.

“Adalah sangat tidak wajar apabila ada pihak cuba mengambil kesempatan di atas titah Tuanku Sultan ini untuk kepentingan individu atau politik,” katanya yang juga Adun Seri Serdang.

Beliau berkata titah baginda perlu dilihat sebagai nasihat seorang ayah kepada rakyat dan bukannya dijadikan bahan polemik politik.

“Berpolitik ada batasnya,” katanya lagi.

Abbas turut menegaskan bahawa tumpuan ketika ini sepatutnya diberikan kepada usaha memperkukuh ekonomi negeri dan negara yang sedang berdepan cabaran krisis ekonomi global.

Menurutnya, kerajaan negeri Selangor sebelum ini telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM131 juta bagi membantu negeri itu menghadapi kesan pergolakan di Timur Tengah.

Katanya, isu kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi perlu menjadi keutamaan berbanding cubaan mencetuskan suasana tegang demi kepentingan politik sempit.

“Tiada untungnya kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan di atas titah Tuanku Sultan ini melainkan hanya untuk mengeruhkan keadaan,” katanya.

Beliau turut berharap rakyat mengambil iktibar secara positif terhadap titah Sultan Selangor sebagai tanda kasih baginda kepada kerajaan negeri dan rakyat Selangor secara keseluruhan.

BACA JUGA PMX puji semangat luar biasa skuad takraw negara