‘Dosa saya akan pindah kepada mereka’ – Nik Zawawi

Wakil rakyat Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menempelak pihak yang berterusan mengkritiknya susulan kenyataan kontroversi Ahli Parlimen Pasir Puteh itu yang menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.

Menurut Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu, pihak yang terus mengecamnya walaupun dia sudah memohon maaf akan menanggung akibat daripada tindakan mereka sendiri.

“Tidak mengapa. Mereka akan menanggung dosa sendiri kerana dosa saya akan dipindahkan kepada mereka,” katanya, dipetik Harian Metro.

Terdahulu, Nik Zawawi memberi keterangan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) pagi tadi berhubung kenyataan yang menggelar Saidina Abu Bakar sebagai “bapa ceti” dan Saidina Umar al-Khattab sebagai individu yang mempunyai “hobi berzina”.

Bekas Ketua Dewan Ulamak Pas itu memberi keterangan kira-kira sejam selepas tiba di pejabat Bahagian Penguatkuasaan JAHEAIK di Balai Islam Lundang, Kota Bharu kira-kira 10.40 pagi.

Sebelum ini, dia telah dipanggil pihak polis susulan kenyataan sama dalam program ceramah politik di Kuala Terengganu, 10 Mei lalu.

“Saya memberikan kerjasama penuh kepada mereka dan berharap perkara ini dapat diselesaikan,” katanya lagi.

Untuk rekod, kes membabitkan pemimpin Pas berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan dan Multimedia 1998 serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

BACA JUGA RM1.8 juta disalur perkasa bekas ATM jadi usahawan