Perjuangan reformasi tak akan terhenti kerana tindakan keluar parti mana-mana pihak – AMK

Beberapa pimpinan AMK Cabang dilaporkan akan membuat keputusan untuk meninggalkan parti dalam masa terdekat, mengikut langkah beberapa pemimpin PKR yang keluar parti minggu lalu.

Ketua AMK Cabang Pandan, Mohd Ifwat Amir Hamirudin berkata, setiap keputusan individu adalah tanggungjawab masing-masing. 

Namun katanya, perjuangan reformasi tidak akan terhenti kerana tindakan mana-mana pihak.

“Perubahan dalam organisasi adalah perkara biasa dalam mana-mana parti politik dan tidak menjejaskan kekuatan asas parti yang dibina atas komitmen anggota serta sokongan rakyat,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau berkata, di Pandan, gerak kerja parti terus berjalan seperti biasa dan fokus merekan akan kekal kepada memperkukuh organisasi serta menyantuni rakyat.

AMK Pandan akan terus komited mempertahankan Parlimen Pandan dan memperkukuh parti, selari dengan saranan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar parti dan peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen.

Mereka mengumumkan untuk memulakan arah tuju politik baharu dengan mengambil alih Parti Bersama Malaysia.

Susulan langkah itu, beberapa ahli akar umbi turut mengambil langkah serupa, meninggalkan PKR dan menyertai Bersama di bawah Rafizi.

BACA JUGA Berbeza pandangan sekali pun, adab dengan Insitusi Diraja perlu dijaga – WARDA