“Junjung titah, Tuanku” – Amirudin seru hentikan politik kebencian

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tampil mempertahankan titah DYMM Sultan Selangor sempena Aidiladha dengan mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan institusi diraja demi kepentingan sempit.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Amirudin berkata titah Sultan Sharafuddin Idris Shah hadir pada waktu yang amat penting ketika wujud kecenderungan segelintir pihak meniup api perkauman serta memperalatkan sentimen agama dan institusi diraja untuk kepentingan politik.

Beliau menegaskan bahawa rakyat dan ahli politik tidak boleh mengamalkan “selective loyalty” atau kesetiaan bermusim terhadap institusi diraja.

“Jangan hanya mempertahankan Raja, agama dan bangsa apabila menguntungkan kedudukan politik sendiri, tetapi mengabaikan prinsip yang sama apabila tidak memihak kepada kepentingan mereka,” katanya.

Menurut Amirudin, titah Sultan Selangor sempena Aidiladha membawa mesej besar mengenai perpaduan umat, keharmonian masyarakat majmuk serta tanggungjawab rakyat memelihara kestabilan negeri dan negara.

Katanya lagi, Malaysia dibina atas semangat muafakat dan persefahaman antara pelbagai kaum, bukannya kebencian atau ketakutan agama.

“Rakyat juga harus menjunjung kasih titah Tuanku Sultan untuk menghayati Rukun Negara secara menyeluruh termasuk memahami latar belakang dan mukadimahnya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Perlembagaan Persekutuan dengan jelas meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara berasaskan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

“Oleh itu, sebarang cubaan mengherotkan sejarah negara, menanam kebencian antara kaum ataupun mempersoalkan kerangka Perlembagaan demi keuntungan politik adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan berbahaya kepada masa depan negara,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Amirudin berkata kerajaan negeri akan terus berpegang kepada semangat perpaduan, kesederhanaan dan penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan seperti yang digariskan para pengasas negara.

Beliau turut menyeru rakyat menjadikan Aidiladha sebagai medan memperkukuh perpaduan dan menolak politik kebencian.

“Pengorbanan terbesar dalam sebuah negara majmuk ialah keberanian untuk menolak kebencian,” katanya.

BACA JUGA Isu titah Sultan dan hina sahabat Nabi sama berat, jangan diperalatkan demi politik