Malaysia takkan maju dengan politik kebencian – Mat Sabu
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan semua pihak agar tidak memainkan sentimen perkauman demi kepentingan politik sempit kerana tindakan itu hanya akan merosakkan masa depan negara.
Dalam hantaran di media sosial hari ini, beliau berkata Malaysia tidak akan maju dengan budaya kebencian dan hasad sesama rakyat, sebaliknya memerlukan semangat persaingan sihat serta perpaduan nasional yang kukuh.
“Jangan mainkan isu perkauman demi kepentingan politik sempit. Semua rakyat Malaysia sayangkan negara ini dan mahu melihat tanah air kita terus aman, maju dan dihormati dunia,” katanya.
Mohamad berkata kekuatan Malaysia lahir daripada rakyat pelbagai kaum yang bekerja keras, saling menghormati dan bersama-sama membina masa depan negara.
Menurut beliau, pendekatan politik yang menyemai kebencian hanya akan menjejaskan keharmonian masyarakat serta melemahkan usaha pembangunan negara.
Beliau turut menyeru anggota AMANAH supaya terus mempertahankan pendekatan “politik khidmat” dan “politik solusi” yang menumpukan kepada kesejahteraan rakyat.
“Kita dalam AMANAH perlu terus menjaga kesejahteraan negara dengan politik khidmat, politik solusi dan politik yang menyatukan rakyat.
“Bukan menanam kebencian, tetapi membina harapan untuk masa depan Malaysia yang lebih baik,” katanya lagi.
BACA JUGA Janji Bulan Bintang? – Pakar dakwa manifesto Rafizi macam ‘angan-angan Mat Jenin