Jangan jadi barah reformasi!, senior PKR ini bidas Rafizi, puji sikap ‘gentleman’ Razeef

Seorang pemimpin PKR Selangor tampil mengkritik tindakan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Rafizi Ramli yang bertindak tidak profesional dan penuh ego susulan keputusan mengosongkan kerusi Parlimen serta keluar parti.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong berkata, tindakan itu berbeza sama sekali dengan pendekatan bekas Ketua Cabang PKR Tuaran, Razeef Rakimin yang disifatkannya matang dan profesional walaupun mengambil keputusan meninggalkan parti.

Menerusi kenyataan medianya, beliau memuji sikap Razeef yang memilih untuk tidak menyerang parti, kerajaan mahupun rakan seperjuangan walaupun membawa haluan politik berbeza.

“Dalam dunia politik hari ini, amat jarang kita melihat seorang pemimpin yang memilih untuk tidak menyerang atau membuka aib pihak lain apabila membawa haluan berbeza.

“Razeef membuktikan bahawa perbezaan politik tidak semestinya diakhiri dengan permusuhan,” katanya.

Menyifatkan dirinya sebagai senior dari segi umur dan keanggotaan dalam parti, David berkata, beliau sudah mengenali Razeef lebih 20 tahun.

David, 61, berpendapat tokoh berkenaan sebagai seorang yang mempunyai prinsip kuat, bersikap ‘gentleman’ serta sentiasa profesional dalam apa jua keadaan.

Katanya lagi, walaupun Razeef mempunyai sejarah perjuangan panjang bersama Rafizi dalam beberapa siri pemilihan parti termasuk pada 2018, 2022 dan 2025, beliau tetap menjaga persahabatan dan rasa hormat sesama rakan politik.

Pemulihan ekonomi

Dalam masa sama, David turut mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyatakan negara ketika ini sedang berada di landasan pemulihan ekonomi serta keyakinan pelabur asing semakin kembali hasil kecekapan diplomasi Kerajaan MADANI.

“Harus diakui bukan mudah untuk menyelamatkan negara daripada kerugian besar dan memulihkan keyakinan pelabur luar.

“Namun, Perdana Menteri telah membuktikan keupayaannya demi masa depan negara.

“Kecekapan kepimpinan beliau menerusi diplomasi langsung dengan pemimpin dunia mempamerkan pengaruh dan kredibiliti global yang luar biasa.

“Ini merupakan satu kualiti pengurusan kepentingan negara yang tiada dalam kalangan ahli politik hari ini.,” tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa ada pihak yang cuba mengganggu agenda Reformasi ketika kerajaan sedang berusaha menstabilkan negara.

Wakil rakyat PKR itu juga berkongsi pengalaman dirinya yang pernah tewas dalam pemilihan PKR tetapi tidak pernah bertindak meninggalkan perjuangan atau melompat parti.

Katanya, perjuangan Reformasi bukan soal mengejar jawatan, sebaliknya mempertahankan idealisme parti yang dibina sejak sekian lama.

“Reformasi bukan kerja sehari. Perubahan sistemik memerlukan kesabaran, strategi yang kukuh serta ruang yang adil untuk bakat muda menyumbang idea secara matang,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu merayu semua pihak agar memberi ruang kepada parti meneruskan agenda Reformasi dengan tenang dan menghentikan tindakan yang boleh menjadi barah kepada perjuangan parti.

“Muhasabahlah sebelum Tuhan menarik semula nikmat kuasa yang dipinjamkan ini.

“Reformasi tetap berjalan, perjuangan belum selesai!

Hats off to you Saudara Razeef ! You earned my respect,” tegas David lagi.

BACA JUGA Titah sultan bukan dekri politik, ini maksud sebenar yang ramai salah faham