29 rakyat Malaysia selamat tiba di Istanbul, enam cedera selepas ditahan Israel

Semua 29 rakyat Malaysia yang ditahan Israel di perairan antarabangsa ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, selamat tiba di Istanbul, Turkiye jam 5.45 petang waktu tempatan semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilapor berkata, setakat ini semua dalam keadaan baik walaupun enam peserta termasuk lima lelaki mengalami kecederaan dan perlu pemeriksaan kesihatan.

Terdahulu, semua 428 aktivis kemanusiaan GSF 2.0, termasuk 29 rakyat Malaysia yang diculik penjajah Israel di perairan antarabangsa, dibebaskan dan dijangka pulang ke tanah air pada 24 Mei ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan dan komitmen maksimum untuk mengetuai segala usaha menggunakan hubungan dua hala bagi mendesak pembebasan segera aktivis GSF 2.0 yang diculik dan ditahan Israel.

Komitmen berkenaan dinyatakan menerusi panggilan telefon dengan pihak Sumud Nusantara Command Center (SNCC).

Kesemua 50 kapal GSF 2.0 yang membawa 428 aktivis kemanusiaan dari 40 negara, telah dipintas tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) di perairan antarabangsa, kira-kira 80 batu nautika dari pantai Gaza.

Dalam masa sama, tular klip video memaparkan perbuatan jahat Israel, Itamar Ben-Gvir bersama IOF yang melakukan kekerasan fizikal, tekanan mental dan ugutan terhadap aktivis kemanusiaan GSF 2.0.

BACA JUGA Bukan semua titah lawan Putrajaya!, pembangkang putar isu Raja-Raja