Ini sebabnya kerajaan pergiat usaha panjangkan bekalan hingga Disember

Kerajaan kini sedang berusaha keras memastikan bekalan tenaga negara mampu bertahan sekurang-kurangnya sehingga Disember ini susulan ketidaktentuan global akibat konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan tenaga negara berikutan gangguan rantaian bekalan global yang boleh memberi kesan besar kepada pasaran minyak dan gas dunia.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, setakat ini keterjaminan bekalan tenaga negara dijangka mencukupi sehingga Julai ini dengan usaha sedang dilaksanakan termasuk mendapatkan sumber dari luar negara.

“Kita mahu mengurangkan penggunaan dan menjimatkan sebenarnya penggunaan tenaga, supaya kita dapat memanjangkan tempoh hayat bekalan minyak serta gas kita.

“Setakat ini, insya-Allah keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga Julai.

“Petronas sedang bertungkus lumus mendapatkan sumber bekalan, malah terpaksa pergi ke Afrika sekalipun.

“Insya-Allah, kita akan dapat keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga Disember depan,” katanya hari ini.

Fadillah berkata demikian selepas menyempurnakan inisiatif Rebat Solar dan Bantuan Insentif Kelestarian (SuRIA) Home pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Putrajaya.

Subsidi besar

Dalam masa sama, beliau mengakui krisis tenaga global yang dihadapi ketika ini memberi kesan kepada keseluruhan rantaian ekonomi.

Menurutnya, banyak sektor akan terasa kesannya dalam fasa kedua dan ketiga disebabkan kurangnya bekalan seperti perubatan memandangkan bahan plastik diperlukan untuk pembungkusan.

“Begitu juga (sektor) pembuatan dan sebagainya, ini sudah pasti memberi kesan kepada rakyat keseluruhannya, apatah lagi negara kita juga terkesan dengan subsidi yang begitu besar terpaksa ditanggung kerajaan demi mengekang kesannya kepada rakyat,” jelasnya.

Ahli Parlimen Petra Jaya dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diadakan setiap minggu melaksanakan pelbagai libat urus dengan pelbagai sektor untuk melihat bagaimana kesan krisis memberi impak kepada sektor ekonomi negara.

“(Mesyuarat MTEN) juga untuk melihat bagaimana kerajaan dapat membantu mengurangkan kesan terbabit, memastikan kelangsungan perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (SME).

“Inilah yang kita laksanakan dan ia memerlukan kerjasama semua.

“Setiap lapisan masyarakat perlu melaksanakan tanggungjawab mereka, khususnya apabila kita melaksanakan kerja di rumah (BDR), bekerjalah bersungguh-sungguh di rumah dan bukannya di luar rumah,” kata Fadillah lagi.

BACA JUGA Ulama Pas jaja ekonomi negara merudum, realitinya syarikat gergasi dunia berebut masuk Malaysia