Bukti formula MADANI, Malaysia no.7 paling dipercayai dunia

Malaysia kini berada dalam kelompok tujuh negara paling dipercayai di dunia berdasarkan Edelman Trust Barometer 2026, satu pencapaian yang disifatkan kerajaan sebagai bukti keyakinan rakyat terhadap kestabilan negara dan hala tuju pentadbiran semasa semakin kukuh.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata kedudukan tersebut menunjukkan Malaysia berada di landasan tepat dalam memperkukuh kepercayaan terhadap institusi, kestabilan sosial serta perpaduan nasional.

Menurut beliau, skor Indeks Kepercayaan keseluruhan Malaysia meningkat daripada 66 mata pada 2025 kepada 71 mata tahun ini, sekali gus meletakkan negara antara yang terbaik di dunia dari segi tahap kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, perniagaan, media dan institusi bukan kerajaan.

Katanya, pencapaian itu bukan sekadar angka di atas laporan antarabangsa, sebaliknya mencerminkan keyakinan rakyat serta masyarakat global terhadap tadbir urus negara dan komitmen Malaysia dalam memastikan pembangunan lebih inklusif.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan keyakinan rakyat terhadap institusi dan kepimpinan negara.

“Ia membuktikan usaha Malaysia dalam memperkukuh tadbir urus, kestabilan ekonomi dan keharmonian sosial membuahkan hasil positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kor Ming berkata ketika banyak negara sedang berdepan peningkatan polarisasi politik, ketidaktentuan ekonomi dan krisis kepercayaan terhadap institusi awam, Malaysia sebaliknya berjaya mengekalkan kestabilan dalam masyarakat majmuk.

Menurut beliau, kekuatan Malaysia terletak pada kemampuan negara memelihara perpaduan dalam kepelbagaian kaum, agama dan budaya.

“Pencapaian ini milik seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Beliau berkata Kerajaan MADANI akan terus menegakkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan dasar berteraskan rakyat bagi memastikan kepercayaan awam kekal menjadi asas utama kemajuan negara.

Dalam masa sama, Kor Ming mengakui laporan Edelman Trust Barometer turut membangkitkan cabaran berkaitan perpecahan sosial dan penularan maklumat palsu yang semakin memberi kesan kepada masyarakat global.

Namun menurutnya, perkara itu perlu dijadikan peringatan kepada semua pihak supaya terus memupuk persefahaman, keterangkuman dan budaya wacana awam yang lebih bertanggungjawab demi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

BACA JUGA Ulama Pas jaja ekonomi negara merudum, realitinya syarikat gergasi dunia berebut masuk Malaysia